comscore
Tumpuan :
Sukan

All England: Aaron-Wooi Yik mara ke final

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghampiri gelaran pertama Seluruh England selepas mengesahkan kemaraan ke final, awal pagi tadi.

Pasangan nombor lima dunia itu hanya memerlukan 36 minit bagi menumbangkan gandingan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-16, 21-15 pada aksi separuh akhir di Utilita Arena, Birmingham.

Keputusan itu menyaksikan mereka mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas beregu Taiwan itu selepas turut menang semua tiga pertemuan sebelum ini.

Kejayaan kali ini menyaksikan Aaron-Wooi Yik mengulangi pencapaian terbaik mereka di kejohanan berprestij yang berusia 125 tahun itu selepas turut melangkah ke final pada edisi 2019.

Ketika itu, Aaron-Wooi Yik terlepas gelaran juara selepas tunduk di tangan beregu berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan.

Kali ini, satu lagi pasangan Indonesia akan menjadi halangan terakhir Aaron-Wooi Yik apabila mereka bertemu Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto malam ini.

Fajar-Rian melangkah ke final selepas menyingkirkan beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-18, 21-18 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Berdasarkan rekod pertemuan, Aaron-Wooi Yik mempunyai kelebihan apabila menang empat daripada tujuh perlawanan ke atas Fajar-Rian dengan kali terakhir menewaskan lawan itu ketika separuh akhir Terbuka India 2023 dalam pertarungan tiga set.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini