Tumpuan :
Sukan

Aliff bawa pulang RM222,000 selepas tundukkan Adukhov dalam 70 saat

Atlet muay thai negara, Aliff Rakib (kiri) menewaskan petarung Russia, Shamil Adukhov dalam 70 saat di Bangkok pagi tadi.

KUALA LUMPUR: Atlet muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib tidak memerlukan tempoh lama untuk ‘menjinakkan’ lawan dari Russia dalam aksi One Fight Night 28, pagi tadi.

Dalam pertarungan yang berlangsung di Bangkok, Aliff hanya memerlukan satu minit 10 saat pada pusingan pertama untuk menundukkan lawannya, Shamil Adukhov.

Kemenangan secara ‘knockout’ (KO) pada pusingan pertama itu secara tidak langsung membolehkannya membawa pulang bonus kemenangan AS$50,000 (RM222,000).

Dalam pertarungan kategori catchweight itu, Aliff nyata dilihat lebih bersedia berbanding Adukhov yang juga pendatang baharu dalam ONE Championship.

Dalam pada itu, dalam satu hantaran di media sosial, Aliff mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan yang diberikan penyokongnya.

“Assalamualaikum, terima kasih semua yang menyokong Aliff,” katanya.

Sementara itu, Muaythai Malaysia dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan kemenangan itu adalah yang ketiga berturut-turut buat bakat sedang meningkat itu.

Kemenangan Aliff tercetus selepas dia menahan asakan daripada Adukhov sebelum melepaskan dua tumbukan ke bahagian kepala lawannya itu.

Dua tumbukan padu itu menyaksikan Adukhov tidak dapat bangkit untuk meneruskan perlawanan sekali gus memberikan kemenangan kepada Aliff.

Kejayaan itu juga menyaksikan dia melebarkan rekod kemenangan 7-2 sejak bertarung dalam ONE Championship.

Lebih membanggakan, lima kemenangan termasuk hari ini diperoleh menerusi pukulan KO.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini