Oleh: Ain Shafiqah Zaki
SEPANG: Perlumbaan Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) yang berlangsung hujung minggu lalu di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) menyaksikan ramai pelumba profesional seluruh Asia turun bersaing merebut tempat di podium.
Tidak terkecuali, dua pelumba muda yang menempa nama dalam industri ini iaitu Siti Norsyafiyah Alia Saarizan dan Khairulamirin Yahaya.
Walaupun usia baru menjangkau 20 dan 22 tahun, dua pelumba ini masing-masing menunjukkan aura seperti pelumba profesional ternama apabila di atas litar.
Menunggang jentera Honda CBR250, bagi pelajar jurusan undang-undang dan perdagangan ini, dia tidak menolak bahawa jantinanya sebagai wanita merupakan salah satu cabaran untuknya bersaing bagi kali ini.
“Lelaki dan perempuan berlumba dalam satu kategori yang sama dan bagi saya sebagai pelumba baru ini, pengalaman menjadi cabaran utama.
“Tambahan pula musim ini ada 41 pelumba dari seluruh Asia jadi ianya membuatkan ia lebih sengit,” kata Alia ketika ditemui Buletin TV3 selepas selesai perlumbaan MSBK 250 B, Sabtu lalu.
Bagi Khairulamirin pula, pengalamannya berentap di negara Sepanyol sebagai pelumba supermoto sebelum ini menjadi nilai tambah dan ia menjadikan dia lebih yakin untuk berentap di kategori MSBK 250 A yang mana ia melibatkan lebih 40 pelumba berpengalaman dari seluruh Asia.
“Kelas A susah sebab ia melibatkan pelumba ‘kilang’, maksudnya rasmilah pengeluar seperti Yamaha, Honda.
“Contohnya Afif Amran, Gery Salim, mereka semua pernah bertanding di Asia Talent Cup serta beberapa pertandingan antarabangsa yang lain,” katanya.
Kongsi Khairulamirin, Alia merupakan protegenya justeru dia perlu bijak membahagikan masa untuk melatih Alia dan dalam masa sama mencuri masa untuk melakukan latihan bagi memastikan persembahannya sentiasa mantap di atas litar.
“Susah pada mulanya kerana masa 2020 pun susah kerana semasa itu saya di Sepanyol.
“Tapi kena melatih dia juga, kena tengok hala tuju dia dalam perlumbaan Cubprix kerana dia bermula dari situ.
“Pengurusan masa saya sangat jaga, saya banyak keluarkan modul, sebab Alia adalah seorang pelumba yang memerlukan teknikal yang lebih teliti,” ujarnya.
Alia dan Khairulamirin masing masing berjaya mendapat tempat dalam kelompok terbaik kategori MSBK 250 A dan B untuk pusingan akhir tahun ini.
Alia melintasi garisan penamat dengan catatan masa 2 minit 37 saat manakala Khairulamirin 2 minit 31 saat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.