Tumpuan :
Sukan

[VIDEO] Al-Jufferi dinobat Ikon Sukan Terbaik AIS HM

 

KUALA LUMPUR: Pastinya ia detik akan diingati pesilat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari yang menutup kariernya dengan kejayaan penuh gemilang apabila dinobatkan sebagai Ikon Sukan Terbaik pada Malam Kemuncak Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro (HM) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, dekat sini, malam ini.

Al-Jufferi yang secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada dunia persilatan profesional pada Ogos lalu, menutup kariernya dengan empat gelaran juara dunia dan turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru.

Kejayaan itu menyaksikan Al-Jufferi membawa pulang sebuah kereta elektrik jenama Appollen A1 (hatchback 5 pintu) bernilai RM136,000, wang tunai RM5,000, sebuah trofi dan langganan percuma akhbar digital HM selama setahun.

FOTO: NSTP

Antara detik paling diingati sudah pasti ketika Al-Jufferi beraksi dengan sebelah tangan akibat bahu kanannya cedera serius di separuh akhir kelas 70-75 kilogram (kg) di Sukan SEA Hanoi, Vietnam, Mei lalu.

Dia yang sebelum itu memenangi empat pingat emas Sukan SEA, kecundang di tangan wakil Singapura, namun api perjuangan dan semangat pendekar dipamerkan serta didorong semangat anaknya, Furqan Al Haq yang menghidap kanser, pasti membuatkan ramai peminat sukan negara meremang bulu roma.

Penerjun sensasi negara yang turut beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Nur Dhabitah Sabri diumumkan sebagai penerima Anugerah Ikon Sukan Wanita Gardenia Breakthru.

Kejayaan Cheah Liek Hou yang meraih emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dalam kategori SU5 (kecacatan fizikal) selain muncul juara dunia sebanyak enam kali menjadi pilihan undian pembaca dan juri apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Sukan Paralimpik.

Bagi kategori Ikon Sukan Jurulatih, air tangannya jarang mengecewakan dan usaha kerasnya selama ini dalam mendidik nama pemain badminton terkemuka negara seperti Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia dan terbaharu Justin Hoh membolehkan Datuk Misbun Sidek diumumkan sebagai pemenang.

Sementara itu, Ikon Sukan Persatuan/ Kelab dimenangi Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dinobatkan sebagai Ikon Sukan Kepimpinan.

Atlet menembak yang semakin meningkat naik, Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Sukan Harapan menewaskan empat calon manakala Datuk Azizulhasni Awang diumumkan sebagai penerima Anugerah Ikon Sukan Pempengaruh.

Bagi menghargai jasa dan sumbangannya dalam pembangunan industri sukan tempatan, jaguh boling negara, Shalin Zulkifli diumumkan sebagai penerima kategori Khas, Anugerah Ikon Sukan Legenda.

Semua pemenang sembilan kategori AIS yang dipertandingkan itu membawa pulang sebuah trofi, wang tunai RM5,000 dan langganan e-paper Harian Metro selama setahun.

AISHM buat julung kalinya dianjurkan memberi pengiktirafan kepada atlet, paralimpik dan penggiat industri sukan, termasuk kelab dan persatuan sukan atas kejayaan serta kecemerlangan mereka dalam kejohanan di dalam negara dan antarabangsa.

Pemenang daripada lima Top 5 dinilai menerusi 50 peratus markah juri profesional dan 50 peratus undian peminat.

Senarai pemenang:

Ikon Sukan Terbaik – Mohd Al-Jufferi Jamari

Anugerah Ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru – Mohd Al-Jufferi Jamari

Anugerah Ikon Sukan Wanita Gardenia Breakthru – Nur Dhabitah Sabri

Anugerah Ikon Sukan Paralimpik – Cheah Liek Hou

Ikon Sukan Jurulatih – Datuk Misbun Sidek

Ikon Sukan Persatuan/ Kelab – JDT

Ikon Sukan Kepimpinan – Datuk Hamidin Mohd Amin

Anugerah Ikon Sukan Harapan – Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin

Anugerah Ikon Sukan Pempengaruh – Datuk Azizulhasni Awang

Anugerah Ikon Sukan Legenda – Shalin Zulkifli

Loading...
Terkini