comscore
Tumpuan :
Sukan

Al-Ittihad tolak bidaan awal West Ham dapatkan Kante

N’Golo Kante (dua dari kiri) beraksi untuk Perancis menentang Belanda pada Euro 2024 di Jerman baru-baru ini. – FOTO: Reuters

LONDON: Bidaan awal West Ham United berjumlah £15 juta (RM90.8 juta) untuk mendapatkan khidmat N’Golo Kante ditolak oleh Al-Ittihad, menurut beberapa laporan.

The Hammers melancarkan bidaan mengejut untuk mengikat bekas bintang Chelsea itu minggu ini tetapi tawaran pertama mereka ditolak.

Kante, 33, dikatakan gembira untuk beraksi di Arab Saudi tetapi mungkin dipujuk untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menurut laporan, kelab Arab Saudi itu mungkin hanya akan mempertimbangkan tawaran sekitar £25 juta (RM151 juta).

Pengurus baharu West Ham, Julen Lopetegui dikatakan sudah lama mengagumi Kante dan mahu membida untuk mendapatkan tandatangannya.

Difahamkan Lopetegui mahu mengikat pemain tengah itu ketika beliau mengendalikan Real Madrid tetapi perjanjian gagal dimuktamadkan.

Potensi perpindahan ke West Ham akan menamatkan penampilan Kante di Arab Saudi sesudah menyertai Al-Ittihad dengan kontrak dua tahun bernilai £172 juta (RM1.04 bilion) selepas meninggalkan Chelsea apabila kontraknya tamat pada musim panas 2023.

Kante memenangi EPL, Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Piala FA ketika beraksi bersama Chelsea.

Kante beraksi 44 perlawanan bersama Al-Ittihad, menjaringkan empat gol dan membuat enam umpanan gol. Kelab itu berakhir di tangga kelima Liga Pro Saudi pada musim 2023-24.

Pemain tengah itu baru-baru ini beraksi buat Perancis pada Euro 2024, yang mana mereka layak ke separuh akhir sebelum tumpas di tangan juara Sepanyol. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini