RIYADH: Peranan Steven Gerrard sebagai pengendali kelab Liga Pro Saudi, Al-Ettifaq semakin goyah selepas tewas kepada Al-Hilal 3-1.
Legenda Liverpool itu mengambil alih kelab berkenaan 16 bulan lalu dan menerima bayaran 15.2 juta pound (RM86.3 juta) setahun di Dammam, berhampiran sempadan Bahrain.
Pasukannya menamatkan saingan liga musim lalu di tangga keenam daripada 18 pasukan, tetapi kini menghuni tangga ke-11 selepas hanya menang tiga perlawanan musim ini.
Aleksandar Mitrovic dan Malcolm meletakkan Al-Hilal di depan dalam aksi di Kingdom Arena, tetapi Victor Vinicius Coelho dos Santos merapatkan jurang dalam masa kecederaan sebelum Mohammed Al-Qahtani meledak gol ketiga tuan rumah sejurus kemudian.
Selepas tewas kepada Al-Qadsiah minggu lalu, Gerrard dicemuh penyokong sendiri yang mendesaknya supaya meninggalkan kelab.
Anak buah Gerrard menebus kekalahan itu dengan menewaskan kelab Kuwait, Al-Qadsia 1-0 dalam saingan Liga Juara-Juara GCC, tetapi kembali menampilkan prestasi hambar dalam saingan liga malam tadi.
Mereka sudah tersingkir daripada saingan Piala Raja Saudi, dan belum memenangi aksi liga sejak pertengahan September, ketika menewaskan Al-Fateh 2-1.
“Saya sedar kekecewaan peminat selepas deretan keputusan buruk, saya bertanggungjawab sepenuhnya. Saya akan terus berusaha untuk memperbaiki keputusan.
“Saya tidak peduli dengan desakan di media sosial atau pendapat dari luar Ettifaq, keutamaan saya adalah kelab ini. Saya hanya mendengar orang-orang dalam kelab dan terus menyokong pemain-pemain saya,” kata Gerrard. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.