Tumpuan :
Sukan

AKUATIK – Skuad terjun idam dominasi di Kemboja

Datuk Leong Mun Yee -FOTO: Leong Mun Yee/Facebook

KUALA LUMPUR: Hanya empat pingat emas dipertandingkan bagi acara terjun pada temasya Sukan Sea Kemboja 2023.

Walaupun jumlahnya agak sedikit berbanding edisi-edisi sebelum ini, ia tetap menjadi acara tumpuan kontinjen Malaysia yang mahu terus mendominasi sukan terjun ini di peringkat AsiaTenggara.

Lebih-lebih lagi, sukan terjun ini memang seringkali dikuasai kontinjen Malaysia dari era 90an lagi.

Pada edisi lalu, skuad terjun negara membolot kesemua lapan pingat emas dipertandingkan sekali gus mengekalkan momentum diperoleh pada edisi sebelumnya di Filipina, empat emas.

Pencapaian di Pusat Akuatik My Dinh itu mengembalikan nostalgia yang pernah menyaksikan Malaysia menyapu bersih pingat emas di Myanmar 2013 dan Singapura 2015 sebelum memperoleh 12 daripada 13 emas di laman sendiri pada 2017 – hanya satu dimenangi Singapura pada ketika itu.

Kali ini di Phnom Penh, hanya empat emas dipertandingkan dan skuad terjun yang diperkuat legenda terjun, Datuk Leong Mun Yee sebagai penolong jurulatih hanya menyasarkan tiga emas untuk dibawa pulang.

Justifikasi rasionalnya, pasukan kali ini menghantar barisan penerjun muda yang diperkuat dengan beberapa atlet berpengalaman iaitu pemenang emas di Hanoi dalam acara tiga meter (m) papan anjal individu lelaki, Muhammad Syafiq Puteh, perak acara sama, Gabriel Gilbert Daim dan gangsa 1m papan anjal, Bertrand Rhodict Lises.

Bagi Syafiq yang juga pemenang emas di Kuala Lumpur 2017 dalam acara 3m papan anjal seirama campuran bersama Jasmine Lai, dia mempunyai kepercayaan penuh terhadap penerjun muda yang dibariskan kali ini.

“Berdasarkan latihan mereka, mereka akan menghasilkan sesuatu di podium… ini kerana saya percaya apa yang mereka usahakan, mereka akan dapat hasilnya nanti,” kata Syafiq yang membuat penampilan sulung di temasya berkenaan di Singapura 2015.

Pada ketika itu, Syafiq menamatkan acara 3m papan anjal individu di tempat keenam manakala rakan senegara, Ooi Tze Liang membawa pulang emas dan baginya, temasya edisi ke-28 itu menjadi pengajaran buat dirinya.

“Yang paling perit (pengalaman) di Sukan SEA Singapura kerana saya diletakkan sasaran paling tidak menaiki podium tetapi tak dapat melakukannya. Saya kecewa kerana tak dapat penuhi sasaran jurulatih serta pasukan.

“Ada sesetengah terjunan saya yang tak dapat persembahkan dengan baik dan itu menyebabkan saya ketinggalan markah. Masa itu pun, agak gugup kerana Sukan SEA pertama saya.

“Saya kurang pengalaman dalam pertandingan, kurang pengalaman untuk mengawal diri ketika pertandingan. Jadi ada yang tak boleh saya lakukan dengan baik,” katanya yang meletakkan fokus utama tahun ini untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Bagi saya, tahun ini sasarannya adalah layak ke Olimpik. Temasya Sukan SEA akan menjadi pentas persiapan untuk ke Kejohanan Dunia di Fukuoka (Jepun) pada Julai ini. Daripada situ (Sukan SEA), akan ada persiapan untuk ke sana nanti,” katanya.

Selain Syafiq, Gabriel dan Bertrand turut menyertai pasukan kali ini adalah Enrique Maccartney Harold (lelaki); Kimberly Bong, Lee Yiat Qing, Ong Ker Ying dan Nur Elisha Rania (wanita).

Dalam pada itu, skuad renang negara pada kali ini akan membawa 18 atlet selepas edisi tahun lalu di Hanoi membawa satu emas daripada 40 dipertandingkan menerusi Khiew Hoe Yean dalam acara 200m gaya bebas lelaki.

Bagi atlet yang pernah mewakili negara di Hanoi tahun lalu, Jaydan Tan, temasya kali ini diharap memberikan keputusan yang lebih baik dan secara peribadi, dia mahu membantu kontinjen untuk meraih pingat di Phnom Penh kali ini.

“Bagi saya persiapan berlangsung dengan baik. Sukan SEA sebelum ini (Vietnam) adalah yang pertama dan saya nak dapatkan pengalaman. Harap tahun ini lebih baik dan saya juga menyasarkan pingat pada kali ini,” kata Jaydan.

Loading...
Terkini