Tumpuan :
Sukan

AKUATIK: Bertrand mara ke final 10m platform

Bertrand Rhodict Anak Lises – Foto AP

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

KUALA LUMPUR: Bertrand Rhodict Anak Lises menempah tiket ke peringkat akhir acara terjun 10m platform Kejohanan Akuatik Dunia yang berlangsung di Fukuoka, Jepun.

Ia selepas penamat tempat ke 10 yang diraih Bertrand, membolehkannya tersenarai antara 12 peserta akhir untuk penentang pingat esok.

Bertrand bermula cukup baik pada pusingan kelayakan di sebelah pagi apabila menduduki tangga ketiga keseluruhan daripada 40 peserta yang mengambil bahagian.

Dia melakar catatan 449.65 mata dengan dua jaguh China, Lian Junjie dan Hao Yang masing-masing di kedudukan pertama dan kedua dengan jumlah 446.90 mata dan 465.95 mata.

Mara ke peringkat separuh akhir bersama 17 peserta lain, persaingan sengit mula disajikan bagi merebut 12 slot yang akan beraksi di pentas final esok.

Bertrand jelas berusaha keras, mengutip 73.50 mata pada terjunan pertama, diikuti dengan catatan 81.60 mata pada terjunan kedua.

69.30 mata diraih pada terjunan ketiga dan catatan 82.50 mata berjaya dilakar pada terjunan keempat menyaksikannya berada di posisi keenam keseluruhan buat seketika.

Bagaimanapun, Bertrand berdepan kesukaran pada baki dua terjunan berikutnya apabila hanya berjaya mengutip 57.80 mata pada terjunan kelima dan 56.00 mata pada terjunan terakhir, menyaksikannya menamatkan saingan dengan jumlah 420.70 mata.

Namun, catatan itu tetap melegakannya bersama kem terjun negara apabila Bertrand menamatkan aksi di posisi ke 10, sekaligus mengesahkan tempat ke peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung esok.

Loading...
Terkini