Oleh: Syakirah Zulkifly
KUALA LUMPUR: Venue saingan pembukaan Piala Malaysia 2024 diantara KL Rovers dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sepatutnya berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu kini ditukarkan ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar yang kini dalam usaha membantu kelab gabungan mereka pasukan Liga A1 Semi Pro itu memaklumkan, faktor kewangan menjadi kekangan buat KL Rovers menganjurkan perlawanan pertama peringkat 16 terbaik di gelanggang sendiri.
“Kami memilih Stadium Sultan Ibrahim kerana pasukan ini menghadapi isu kewangan jadi ia menjadi masalah untuk menanggung kos VAR dan kos operasi seperti keselamatan.
“Kami sedar kos keselamatan agak tinggi jika kami menganjurkan sendiri perlawanan pembukaan Piala Malaysia itu kerana lawan kami adalah JDT” jelas Syed Yazid ketika dihubungi Buletin TV3.
Keputusan pertukaran venue itu telah dimuktamadkan sejak minggu lalu dan Syed Yazid berterima kasih kepada pihak pengurusan skuad Harimau Selatan kerana bersetuju untuk membantu KL Rovers untuk kekal beraksi di kejohanan tertua di Asia itu.
Pasukan KL Rovers akan berangkat ke Iskandar Puteri esok bagi menghadapi juara bertahan, JDT pada Rabu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.