comscore
Tumpuan :
Sukan

Aksi persahabatan menentang India terpaksa dibatalkan

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

PETALING JAYA: Jurulatih skuad hoki remaja kebangsaan, I. Vikneswaran terpaksa membuat keputusan berat, membatalkan aksi persahabatan terakhir menentang India hari ini.

Ia selepas penilaian yang dilakukan terhadap kecergasan barisan pemain mengambilkira tempoh masa rehat yang diperlukan sebelum aksi pembukaan kempen hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2024, Sabtu ini.

“Dengan berakhirnya perlawanan persahabatan menentang pasukan New Zealand dan Great Britain, kita terpaksa menolak perlawanan persahabatan ketiga menentang pasukan India kerana terdapat beberapa pemain yang kurang sihat.

“Kita mengambil langkah untuk merehatkan mereka dan tidak bermain kerana adalah penting untuk pasukan memulihkan kecergasan sepenuhnya di mana perlawanan pertama kita dalam kejohanan ini (SOJC) adalah dua hari lagi menentang pasukan New Zealand.

“Semalam ketika kita bermain dengan pasukan Great Britain, kita lihat pemain-pemain lebih yakin dari segi cara mereka memegang bola dan menggerakkan bola, dan pergerakan secara sepasukan itu adalah sesuatu yang kita lihat positif setakat ini.

“Keyakinan individu serta keyakinan pasukan juga merupakan satu lagi aspek yang penting kita lihat, kita juga lihat pasukan Great Britain, walaupun perlawanan persahabatan, bermain secara sangat fizikal dan ini memberi satu pengalaman yang bagus untuk pemain kita kerana dalam perlawanan antarabangsa, kita tahu, bahawa pihak lawan mereka akan cuba bermain fizikal untuk menghilangkan konsentrasi pasukan kita tetapi di sini kita lihat pemain kita tetap fokus kepada matlamat yang kita sasarkan”, kata Vikneswaran ketika dihubungi Buletin TV3.

Pada aksi persahabatan semalam, skuad ‘Young Tigers’ berjaya merakam kemenangan 1-0 ke atas Great Britain, gol menerusi jaringan sudut penalti Muhd Nabil Irfan Mohd Yusof.

Dan selepas pembatalan aksi persahabatan menentang India yang sepatutnya berlangsung petang ini, tumpuan pasukan sudah tentu terarah kepada aksi pembukaan SOJC menentang New Zealand, Sabtu ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini