KUALA LUMPUR: Perlawanan Liga Super antara Kuching City FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Negeri, Kuching malam ini terpaksa ditunda ke tarikh baharu.
Perkembangan itu dimaklumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi laman sosial Facebook mereka sambil menjelaskan keputusan itu buat atas faktor keadaan padang yang tidak sesuai untuk beraksi.
“Perlawanan Liga Super antara Kuching City FC dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Negeri yang dihentikan akibat hujan lebat sebentar tadi akan ditunda kepada satu tarikh lain atas faktor keadaan padang yang tidak sesuai untuk beraksi,” kata MFL.
Terdahulu, perlawanan itu dihentikan pada minit ke-14 oleh pengadil, Razlan Joffri Ali ketika kedudukan masih 0-0 susulan hujan lebat dan padang di Stadium Negeri bertakung air.
Selepas sejam menunggu dan barisan pegawai perlawanan termasuk pengadil memeriksa keadaan padang, aksi berkenaan terpaksa ditunda ke tarikh lain yang akan diumumkan MFL kelak.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.