Tumpuan :
Sukan

Akhyar sah milik tetap Terengganu

Foto: Terengganu FC/ Facebook

KUALA TERENGGANU: Tonggak kebangsaan, Akhyar Rashid tidak lagi bergelar pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas sah menjadi milik Terengganu FC (TFC) secara tetap selama dua musim.

Berita gembira buat peminat setia skuad Penyu itu dimaklumkan pihak pengurusan skuad menerusi kenyataan rasmi kelab berkenaan dalam laman sosial petang tadi.

Dalam kenyataan itu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan untuk melepaskan Akhyar kepada TFC selama dua musim sehingga musim 2026-2027.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, pemain itu secara rasmi sah menjadi milik TFC selama dua musim.

“Secara rasminya Akhyar telah menandatangani kontrak untuk bersama TFC yang akan mengekalkan pemain itu selama dua musim bersama kelab ini.

“Pemain yang sebelum ini dipinjamkan daripada JDT bagi musim 2024-2025 telah memberikan impak yang cukup baik dalam meningkatkan kualiti pasukan pada musim ini.

“Melihatkan impak yang diberikan pemain itu kepada TFC dalam pertandingan domestik dan juga di peringkat ASEAN, kelab ini telah membuat permohonan secara rasmi untuk menandatangani kontrak secara tetap daripada kelab JDT.

“Permohonan itu telah diperkenankan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan bersetuju untuk melepaskan pemain ini khas untuk kelab TFC dan pemain ini boleh beraksi bersama pasukan sebagai pemain tetap.

“Pihak TFC mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas keputusan ini dan diharapkan kehadiran pemain ini mampu meningkatkan lagi kualiti pasukan untuk baki saingan pada musim ini dan musim akan datang,” ujar Mohd Sabri menerusi kenyataan rasmi itu.

Dengan pengumuman itu, pemain kelahiran Kedah itu boleh beraksi menentang bekas kelabnya, JDT pada aksi separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Jumaat ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini