Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
NILAI: Acara ‘endurance’ sekali lagi menghadirkan pingat kepada kontinjen basikal trek negara di Kejuaraan Asia kali ini menerusi perlumbaan kutipan mata (point race) 25 kilometer (km) wanita elit.
Nur Aisyah Mohd Zubir mempamerkan kayuhan baik diiringi strategi berkesan membolehkannya menamatkan 100 pusingan di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai di tempat kedua daripada sembilan peserta.
Pelumba berusia 27 tahun itu tampil mengumpul mata tujuh kali berturut-turut daripada 10 kayuhan pecutan sekaligus memenangi pingat perak menerusi 20 mata keseluruhan.
Juara milik Maho Kakita dari Jepun menerusi 44 mata sementara wakil Uzbekistan Nafosat Kozieva gangsa dengan 19 mata.
”Selepas 60 pusingan tu saya tengok, mata saya di kedudukan ketiga, dan tak jauh beza di tempat kedua hanya satu mata sahaja jadi saya rasa yakin untuk berjuang mencari podium”, kata Nur Aisyah yang membuat penampilan pertamanya di acara berkenaan.
Ia merupakan kejayaan kedua berturut-turut anak didik Amir Mustafa Rosli itu selepas membuat kejutan meraih perak scratch 10 km semalam.
Nur Aisyah dijadual beraksi pada perlumbaan terakhirnya acara madison bersama-sama rakan senegara Nyo Chi Hui esok.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.