| Oleh Saiyed Ismail Saiyed Hussin
KUALA LUMPUR : Selepas sekian lama masa depan jurulatih Aidil Sharin Sahak dengan pasukan Kedah Darul Aman (KDA) hangat diperkatakan, skuad Sang Kenari hari ini mengumumkan perpisahan kedua-dua pihak.
Keputusan menggantikan pengendali itu diumumkan menerusi kenyataan media Ketua Pegawai Eksekutif KDA Khamal Idris Ali di laman Facebook kelab.
“Ahli Lembaga Pengarah KDA FC memberi keutamaan perancangan kelab untuk musim 2023 dan mengumumkan untuk membawa haluan berbeza dengan Aidil Sharin Sahak, Ketua Jurulatih pasukan KDA FC untuk baki saingan Liga Malaysia musim ini,” menurut Khamal Idris.
Tugasan membimbing pasukan seterusnya akan dipangku oleh penolongnya Victor Andrag menuju saingan Piala Malaysia selepas ini.
Kedah dibawah kendalian Aidil Sharin sejak 2019 memenangi Piala FA dan bergelar Naib Juara Piala Malaysia pada tahun pertamanya.
Kewibawaan individu kelahiran Singapura ini berterusan dengan meletakkan skuad Hijau Kuning sebagai Naib Juara Liga Super 2020 dan 2021.
Kredibilitinya di saingan antarabangsa terbukti apabila mengemudi KDA ke pentas Asia 3 tahun berturut-turut iaitu aksi Play-Off Liga Juara-Juara AFC 2020 dan ke saingan Piala AFC pada tahun 2021 dan 2022.
Tugasan sulung Victor ialah membawa barisan Hijau Kuning bertandang ke halaman Negeri Sembilan (NSFC) bagi perlawanan pertama Piala Malaysia dijadual 2 minggu lagi.
Pemilik KDA Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dalam kenyataan media turut menyebut penghargaan peranan Aidil Sharin yang telah banyak berjasa selain sentiasa kekal dalam lipatan sejarah pasukan.
“Melihat melalui sudut pandang badan pengurusan, banyak tindakan perlu dilakukan untuk membentuk pasukan baru di masa hadapan dan juga dalam baki perlawanan di TM Piala Malaysia. Akan ada tindakan pentadbiran yang tidak popular dan sukar kepada sebahagian pihak. Ini adalah perlu dan lazim dilakukan dalam pengurusan sebuah kelab bolasepak di seluruh dunia,” kata Tan Sri Dr. Mohd Daud mengulas mengenai prestasi dan masa depan Sang Kenari.