Tumpuan :
Sukan

Ahmad Shapawi mahu heret Megat ke mahkamah, peguam timbang kemuka usul pembatalan AGM MPM

Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin

PUTRAJAYA: Perbalahan diantara calon pemilihan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan penyandang jawatan Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin kini memasuki episod baharu.

Satu laporan polis dibuat Datuk Ahmad Shapawi hari ini menuntut siasatan terhadap kenyataan Datuk Seri Megat yang didakwa memfitnahnya sebelum Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan tersebut kira-kira tiga minggu lalu.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu hadir bersama peguamnya Datuk Michael Wong di Balai Polis Presint 7, Putrajaya sekitar jam 10 pagi untuk membuat aduan terhadap tindakan Datuk Seri Megat yang memberikan kenyataan telah membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa beliau bersama-sama Pengarah Bahagian Paralimpik MSN Mohd Sofian Hamzah memberi rasuah kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membolehkannya dicalon persatuan tersebut untuk mencabar jawatan Presiden bagi penggal 2025-2029.

“Saya memohon pihak polis dapat menyiasat kes ini dibawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan Malaysia (Akta 574) dan Akta lain yang berkenaan.

Saya akur dengan keputusan pemilihan dalam Mesyuarat Agung MPM tempoh hari yang tidak memihak kepada saya tetapi amalan dan sikap buruk yang keterlaluan dilakukannya sepatutnya tidak menjadi amalan dalam memberikan perkhidmatan sukarela kepada dunia sukan negara ini.” kata Datuk Ahmad Shapawi lagi sebaik selesai membuat laporan.

Beliau juga menambah pihaknya akan mengambil langkah susulan selepas ini.

“Kita akan keluarkan saman sivil (Akta Fitnah 1957) pada minggu hadapan kemudiannya kita akan serah semula kepada pihak berkuasa untuk buka kertas siasatan.” jelas peguam Datuk Michael yang mewakilinya.

Bukan itu sahaja, peguam tersebut turut memberitahu sedang mengumpul bahan untuk mengemukakan usul pembatalan AGM yang berlangsung 14 Disember lalu kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) minggu depan berikutan permintaan dua persatuan sukan yang mendakwa terdapat pelanggaran perlembagaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini