Tumpuan :
Sukan

Ahmad Faedzal tamat perkhidmatan sebagai CEO ISN bulan depan

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli.

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli bakal menamatkan perkhidmatannya pada 24 Februari depan selepas berkhidmat selama enam tahun.

Ahmad Faedzal, 47, mengesahkan beliau tidak akan melanjutkan tempoh perkhidmatannya kerana tertakluk kepada peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Saya akan tamat pada 24 Februari ini setelah genap enam tahun. Saya punya peminjaman tidak sampai Sukan Olimpik LA 2028. Saya ini Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), jadi selepas ini JPA akan buat keputusan saya pergi ke mana.

“Tak ada kemungkinan (sambung) sebab saya tertakluk kepada tatacara peminjaman yang selalu standard lima tahun dan kalau ada lanjutan itu, berdasarkan kes-kes tertentu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Berkongsi kenangan paling bermakna sepanjang berkhidmat di ISN, Ahmad Faedzal berkata pengalaman membantu atlet negara dalam tempoh pandemik COVID-19 adalah antara detik yang tidak dapat dilupakan.

“Masa itu kita menghadapi pelbagai cabaran gelembung sukan, kemudian kita bertanding dalam situasi kuarantin. Situasi bilamana Sukan Olimpik Tokyo mempunyai prosedur operasi standard (SOP) ketat.

“Ia adalah situasi sekali seumur hidup nak bantu atlet peringkat tertinggi dan ketika Olimpik Tokyo saya ada pergi, dan ketika itu melihat momen menimpa atlet paralimpik Muhammad Ziyad Zolkefli,” katanya.

Untuk rekod, Ahmad Faedzal mula menerajui ISN sebagai CEO pada 25 Februari 2019, menggantikan Dr Mohd Khairi Zawi.

Sebelum itu, beliau merupakan Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Sosial di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini