KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima jersi Harimau Malaya baharu yang dipersembahkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.
Perkembangan itu diumumkan badan induk itu menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
Selain mempersembahkan jersi baharu kepada Al-Sultan Abdullah, Seri Paduka Baginda dan Hamidin turut menyentuh mengenai kepentingan hubungan dua hala Malaysia dengan negara luar terutama negara ahli Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke Doha, Qatar bagi mengadakan lawatan khas selama enam hari, bermula kelmarin.
Lawatan khas itu juga adalah atas persilaan peribadi Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, sempena temasya Piala Dunia Qatar 2022.
Malah, Hamidin turut hadir di Doha atas jemputan Presiden FIFA, Gianni Infantino bagi menghadiri perlawanan separuh akhir dan akhir Piala Dunia 2022.