comscore
Tumpuan :
Sukan

ACLE: JDT tundukkan Ulsan HD

FOTO: NSTP

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) membuatkan Ulsan HD FC terkedu selepas berjaya menewaskan juara Liga K1 Korea (Liga K1), 3-0 pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Hector Bidoglio melonjak ke tangga ketiga selepas mengumpul tujuh mata hasil daripada dua kemenangan dan satu seri manakala Kim Pan Gon ‘pulang’ ke Malaysia dengan tangan kosong malah masih belum meraih sebarang kemenangan selepas mengharungi empat perlawanan dalam saingan ACLE Zon Timur.

Kemenangan itu juga melebarkan rekod pencapaian skuad Harimau Selatan yang berjaya menumpaskan kelab dari Korea Selatan itu sebanyak empat kali dan tewas hanya sekali sejak 2022 hingga kini.

Detik kemenangan JDT bermula seawal minit keempat apabila meraih peluang terhidang untuk membuka tirai jaringan selepas tindakan penjaga gol Ulsan HD FC, Jo Hyeon-woo gagal menendang bola kemas keluar dari kawasan bahaya.

FOTO: NSTP

Arif Aiman Hanapi yang berada di dalam kotak penalti sempat melakukan lorongan untuk mencari Jorge Obregon namun penyerang JDT itu terleka untuk menyambar bola lorongan itu dan gawang kelab dari Koreal Selatan itu terselamat.

Arif yang begitu bersemangat bagi memburu gol akhirnya menemui sentuhan berbisa pada minit ketujuh selepas berjaya merampas bola daripada Kim Young-gwon sebelum menyusup masuk ke dalam kotak penalti dan merembat bola leret tepat ke penjuru kanan gawang menewaskan Hyeon-woo.

Tersentak dengan jaringan awal itu, anak didik Pan Gon mula menyusun gerakan dan hampir mencipta jaringan pada minit ke-21 selepas Darijan Bojanic yang berada di dalam kotak penalti merembat bola lencong, mujur Eddy Israfilov sempat menghalang dan bola sekadar melewati palang gol.

Skuad Harimau Selatan hampir mencipta gol kedua pada minit ke-42 selepas gerakan menarik Arif yang mengumpan kepada Oscar Arribas tatkala berada di dalam kotak penalti merembat kencang tapi melewati palang gol dan kedudukan 1-0 memihak JDT kekal sehingga berakhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, Ulsan HD FC nyaris menyamakan jaringan pada minit ke-50 selepas bola hantaran lintang Kim Min-woo tepat kepada pemain gantian, Lee Chung-yong namun bola rembatan deras melepasi palang gol ketika penjaga gol, Andoni Zubiaurre sudah tertewas.

Anak didik Bidoglio yang tidak berpuas hati apabila sekadar mencipta satu gol pada babak pertama terus menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan dan pada minit ke-68 Arribas yang bergerak di posisi sayap kanan bertindak merembat bola dan rembatan itu terbias kaki Bojanic menyaksikan bola menerjah jaring sehingga gagal diselamatkan Hyeon-woo.

Ketika aksi berbaki dua minit untuk ditamatkan, bola umpanan pemain gantian Afiq Fazail membuka ruang buat pemain gantian Bergson da Silva merembat bola kencang tepat ke penjuru kanan gawang menewaskan Hyeon-woo yang juga penjaga gol utama Korea Selatan dan kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini