
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT), wakil tunggal negara di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), bukan sahaja mengesahkan slot ke pusingan 16 terbaik dengan penuh bergaya apabila menewaskan Pohang Steelers 5-2 kelmarin,malah turut menambah RM1.3 juta lagi dalam ‘kantung’ mereka.
Kejayaan menumpaskan wakil Korea Selatan itu membolehkan skuad Harimau Selatan meraih RM444,000 sebagai hadiah kemenangan dan kemaraan mereka ke pusingan kalah mati menyaksikan mereka mendapat ganjaran sebanyak RM889,000.
Secara keseluruhan selepas JDT menamatkan saingan ACLE musim ini di tangga keempat, skuad bimbingan Hector Bidoglio itu sebenarnya sudah menghimpun wang ganjaran bernilai RM6.2 juta.
Pada awal kempen, mereka sudahpun menerima RM3.5 juta selepas layak menyertai saingan tertinggi bola sepak Asia itu dan setiap kemenangan di peringkat kumpulan membolehkan mereka mendapat wang ganjaran sebanyak RM444,000.
Mereka menghimpun empat kemenangan daripada lapan perlawanan – menjadikan RM1.7 juta dikutip susulan kemenangan ke atas Shanghai Shenhua, Ulsan HD, Central Coast Mariners dan juga kemenangan terbaru ke atas Pohang Steelers.
Jumlah ini tidak termasuk subsidi perjalanan sebanyak RM222,000 yang diberikan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kepada semua pasukan yang bertanding.
Sebagai rekod, ini kali kedua JDT mara ke pusingan kalah mati pertandingan itu dengan kali pertama adalah pada musim 2022 namun mereka dibelasah wakil Jepun, Urawa Red Diamonds 5-0 sekali gus meleburkan impian mereka ke suku akhir.
Pada aksi pusingan 16 terbaik nanti, mereka akan berentap kembali dengan kelab Korea Selatan, Gwangju FC yang sebelum ini pernah menewaskan mereka 3-1 pada aksi peringkat kumpulan.
Mereka berpeluang menambah lagi wang ‘besar’ sebanyak RM1.7 juta sekiranya layak ke suku akhir dan RM2.6 juta jika meneruskan kemaraan sehingga ke separuh akhir.
Juara ACLE pula bakal menerima RM44 juta sementara naib juara pula membawa pulang RM17 juta.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.