Tumpuan :
Sukan

ACLE: JDT sahkan slot 16 terbaik, menang bergaya atasi Pohang

FOTO: Johor Southern Tigers

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya mengatasi cabaran kelab K1 Liga Korea, Pohang Steelers 5-2 pada aksi terakhir Kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Dengan misi wajib menang skuad kendalian Hector Bidoglio mengesahkan slot ke pusingan 16 terbaik dengan menempatkan diri dalam lapan pasukan terbaik Zon Timur selepas menamatkan saingan di tempat keempat dengan mengumpul 14 mata.

Skuad Harimau Selatan berkemungkinan berdepan satu lagi kelab Korea, Gwangju FC yang turut mengumpul 14 mata yang kini berada di tangga kelima dan hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan pada pertembungan timbal balik yang dijadual pada 4 Mac ini.

Walaupun di awal permainan JDT tampak menguasi permainan namun serang balas pantas anak didik Park Tae-ha pada minit kelima mengundang cemas gawang tuan rumah selepas bola rembatan leret Juninho dari luar kotak penalti hanya sedikit tersasar ketika penjaga gol, Andoni Zubiaurre sudah tertewas.

JDT juga memiliki peluang terbaik membuka tirai jaringan pada minit ke-11 apabila sepakan percuma Juan Muniz sedikit melencong ke sebelah kiri tatkala penjaga gol, Yoon Pyung-guk sudah tertewas.

FOTO: Johor Southern Tigers

Namun Pohang Steelers terlebih dahulu mengejutkan JDT pada minit ke-26 menerusi set-piece menarik apabila bola sepakan lintang Jorge Luiz ditanduk masuk Lee Ho-jae.

Gol penyamaan yang dicari tuan rumah akhirnya hadir minit ke-36 hasil rembatan Oscar Arribas untuk mengikat kedudukan 1-1.

Bersambung babak kedua, Bergson da Silva meletakkkan JDT di depan pada minit ke-52 selepas dia yang bijak mengawal sebelum memusingkan badan dan melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan Pyung-guk.

Gegak gempita lebih 30,000 penyokong Harimau Selatan menyambut jaringan ketiga pada minit ke-56 selepas Arif Aiman Hanapi bijak mengambil kesempatan daripada kesilapan Pyung-guk yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya dengan menolak bola ke gawang yang terbuka.

Ketinggalan 1-3, anak didik Tae Ha mula menyusun strategi dalam usaha merapatkan jurang gol namun benteng yang dikawal Israfilov, Jordi Amat dan Alvaro Gonzalez dan dibantu Naxto Insa tampak bertungkus lumus mengekang asakan penyerang pelawat.

Usaha berterusan Pohang Steelers membuahkan hasil pada minit ke-80 berpunca daripada sepakan lintang Hong Yun-sang membuka ruang buat pemain gantian Kang Hyeon-je yang tidak dikawal menolak masuk menewaskan Zubiuarre.

Walaupun pemain gantian Heberty Fernandes menjaringkan gol pada minit kecederaan namun pengadil dari Jordan Adham Mohammasd Makhadmeh membatalkan jaringan itu selepas melakukan semakan video bantuan pengadil (VAR) yang mengesan Heberty mengasari Pyung-guk.

Namun itu tidak menghalang JDT melenyapkan sisa perjuangan anak didik Tae-ha selepas pemain gantian Jese Rodrigue mencipta jaringan pada minit ke-97.

Ketika aksi hampir ke penamat, seorang lagi pemain gantian Jorge Obregon menyudahkan sepakan penalti bagi memastikan kemenangan bergaya 5-2 ke atas kelab dari Korea Selatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini