Tumpuan :
Sukan

ACLE: JDT, Buriram United kongsi mata

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa melupakan hasrat mengutip tiga mata di laman sendiri apabila terikat 0-0 menentang kelab gergasi Thailand, Buriram United, pada perlawanan Kumpulan Zon Timur saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini malam ini.

Perlawanan melibatkan kelab terbaik Malaysia dan Thailand itu berlangsung cukup panas apabila dicemari insiden tiga kad merah dilayangkan oleh pengadil.

Kad merah pertama dikeluarkan pada minit ke-10 kepada pemain JDT Murilo Santos selepas mengasari Dion Cools di luar kotak penalti dikuti kad merah kedua pula dilayangkan kepada kapten Buriram United, Theerathon Bunmathan, pada minit ke-43 akibat melakukan kekasaran di luar permainan terhadap Arif Aiman Mohd Hanapi.

Sementara itu, kad merah ketiga diberikan kepada pemain pertahanan JDT Park Jun Heong pada masa kecederaan selepas dia mengasari Guilherme Campos Bissoli.

Pertembungan beraksi dalam keadaan hujan seawal minit pertama itu menyaksikan kedua-dua pasukan sukar mengatur gerak serangan ke arah pintu gol.

JDT terlebih dahulu terpaksa beraksi dengan 10 pemain namun berjaya menyerap asakan Buriram sekali gus memastikan pintu gol tidak dibolosi.

Bagaimanapun, perlawanan kembali seimbang setelah Buriram turut menerima nasib yang sama, terpaksa bermain dengan 10 pemain dengan JDT beberapa kali berjaya melancarkan serangan menerusi Bergson da Silva.

Tiga percubaan terbaik JDT hadir pada minit ke-64, 71 dan ke-84 melalui Heberty namun semuanya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Buriram United, Neil Leonard Etheridge.

Kedua-dua pasukan dilihat berhati-hati dalam melancarkan serangan dan lebih banyak mengutamakan corak bertahan dan akirnya mereka terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan sehingga wisel penamat ditiup.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini