
KUALA LUMPUR: Pelumba wanita remaja negara, Sawda Hasbullah terus mencipta nama apabila catatan masa 1:10.818 saat (s) dilakukannya pada final acara 1 kilometer (km) ujian masa remaja di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 semalam diiktiraf sebagai rekod dunia.
Perkembangan terbaru itu dikongsikan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerusi hantaran di Instagram badan induk itu, hari ini.
“Sawda Hasbullah, pelumba berusia 17 tahun mencipta sensasi apabila memenangi pingat emas dalam acara 1km ujian masa remaja wanita yang baru diperkenalkan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2025,” tulis PKBM di gambar Sawda yang tertera kapsyen pemegang rekod dunia dan Asia.
Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang turut berkongsi perkembangan terbaru itu di Instagram Story miliknya.
Semalam, catatan masa 1:10.818s itu diumumkan sebagai rekod Asia, namun perkembangan baharu itu kini meletakkan Sawda sebagai pelumba terbaik dunia dalam acara 1km ujian masa remaja wanita.
Sawda menggegarkan Velodrom Nasional Nilai, semalam, apabila meraih emas menewaskan pelumba dari Taiwan, Liu Shang Ying (1:11.936s) sementara Harshita Jakhara dari India pula meraih gangsa (1:12.848s).
Untuk rekod, kemenangan itu membolehkan Sawda mengumpul dua pingat selepas turut cemerlang dalam acara pecut berpasukan wanita remaja yang dibarisi oleh Nurul Akhma Atiqah Ahmed Haizan dan Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak menamatkan perlumbaan di tempat kedua selepas mencatat masa 51.93 saat (s) pada aksi final pada hari pertama.
Sawda akan turun dalam acara pecut pada esok untuk memburu pingat ketiga.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.