KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mengumumkan akan bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) pada kongres pemilihan persatuan itu, 12 Oktober ini.
Malah, Abdullah Sani yang juga Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dikatakan akan bergandingan bersama pengarah dan juga penerbit filem terkenal tanah air, Datuk Afdlin Shauki yang bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden KLFA.
Perkara itu disahkan Abdullah Sani menerusi pertemuan bersama beberapa ahli gabungan semalam dengan menyaksikan beliau menyahut cabaran untuk memegang jawatan utama itu.
Menyedari cabaran besar bakal diharungi kelak, Abdullah Sani tidak goyah untuk memegang jawatan utama dengan matlamat mahu mengembalikan zaman kegemilangan pasukan Kuala Lumpur City (KL City) dalam saingan Liga Super.
Malah, turut menjadi keutamaan beliau adalah mahu menyelesaikan tunggakan gaji pemain yang kini menjadi antara punca KL City ‘lemau’ hingga membantutkan pasukan memperoleh kejayaan positif.
“Kita mahu melihat KLFA lebih maju dan aktif selain turut memperkasakan lagi akademi bola sepak Kuala Lumpur untuk masa akan datang.
“Seperti mana yang saya rungkaikan, saya ada pasukan yang kuat dengan adanya Timbalan Presiden Datuk Afdlin Shauki bersama ahli gabungan yang kuat sekali gus yakin segala-gala masalah dapat diselesaikan.
“Saya minat bola sepak termasuklah Afdlin sekali gus menyahut cabaran untuk memegang jawatan utama dalam KLFA,” katanya, ketika ditemui Arena Metro.
Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan perebutan bagi jawatan Presiden KLFA semakin ‘panas’ apabila Afdlin dan Penasihat Setiawangsa Rangers FC, Datuk Azril Mat Drus bakal bertanding merebut jawatan itu.
Selain itu, turut mengumumkan untuk bertanding adalah Syed Yazid Syed Omar yang turut menyuarakan hasrat untuk menduduki kerusi panas terbabit.
Namun, menerusi perkhabaran terkini kemungkinan Azril bersama Afdlin akan merebut jawatan Timbalan Presiden.
Hal ini menyaksikan perebutan jawatan utama KLFA kemungkinan hanya membabitkan Abdullah Sani dan Syed Yazid saja.
Mengikut rekod, pemilihan kongres KLFA akan berlangsung pada 12 Oktober ini selepas ditangguhkan awal bulan ini akibat beberapa isu berbangkit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.