KUALA LUMPUR: Juara dunia yang baru ditabalkan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak akan menyertai Terbuka Jepun yang dijadual membuka tirainya di Osaka esok.
Perkembangan itu disahkan Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky kepada BH Sukan namun butiran lanjut mengenainya tidak didedahkan.
Malah, nama gandingan negara itu juga sudah dipadamkan dalam jadual pertandingan kejohanan bernilai RM3.3 juta itu.
Tengahari tadi, Aaron menyatakan dia dan Wooi Yik masih belum pasti untuk menyertai saingan berkenaan namun menganggap setiap kejohanan selepas ini pastinya menyajikan laluan lebih sukar dan mereka harus bersedia dengan cabaran mendatang.
“Belum pasti (sertai Terbuka Jepun). Tengok keadaan dulu. Setiap kejohanan masih penting tak kiralah kejohanan dunia, 1000 ataupun 750 sekali pun, semua kejohanan ini amat penting buat kami.
“Saya fikir di masa depan, ia akan menjadi lebih sengit kerana apabila menjadi juara, semua orang akan menganalisis permainan kamu dan kamu perlu lebih bersedia dengan gandingan sedang meningkat naik kerana mereka pasti akan melihat kamu. Oleh itu, kami perlu bersiap sedia untuk kesemua kejohanan,” kata Aaron.
Semalam, Aaron-Wooi yik mencipta sejarah paling bermakna buat negara apabila menamatkan penantian gelaran dunia sulung Malaysia di pentas kejohanan dunia selepas menewaskan gandingan berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14.
Kejayaan di bumi Tokyo, Jepun itu juga secara tidak langsung menamatkan badi kekalahan di pentas final dan separuh akhir yang dialami mereka sejak mula digandingkan bersama pada 2017.
“Walaupun kami sudah dapat gelaran juara dunia tetapi apa yang boleh dikatakan, kami mempunyai lebih tekanan untuk mencipta keputusan lebih baik untuk diri sendiri. Apapun, kami akan terus fokus dengan apa yang kami lakukan serta apa sasaran seterusnya buat kami,” kata Aaron. – BERITA HARIAN