KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hanya selangkah sahaja lagi untuk meraih gelaran pertama musim ini apabila mara ke pentas final Masters Korea selepas menewaskan pasangan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin, hari ini.
Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Iksan itu, beregu ranking enam dunia itu hanya memerlukan tempoh 36 minit untuk menang dalam perlawanan straight set 21-17, 21-16.
Tampil sebagai pilihan utama kejohanan berstatus Super 300 BWF (Persekutuan Badminton Dunia) itu, kemenangan Aaron-Wooi Yik sememangnya boleh diramal menentang Hsiang Chieh-Chi Lin yang mengisi ranking 76 dunia.
Begitupun, pertemuan itu tidak boleh dianggap mudah kerana Chi Lin adalah pemenang pingat emas Olimpik Paris 2024 dengan Lee Yang namun terpaksa bergandingan dengan Hsiang Chieh selepas pasangannya itu membuat keputusan menggantung raket.
Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 mengambil bahagian di Masters Korea dalam usaha untuk melayakkan diri beraksi di Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China, bulan depan.
Mereka sepatutnya tidak bermasalah untuk merangkul kemenangan di Korea yang juga gelaran pertama tahun ini selepas dijadual bertemu pasangan tuan rumah, Ki Dong Ju-Seo Seung Jae di final, esok.
Terdahulu, Dong Ju-Seung Jae mara ke final selepas menewaskan rakan senegaranya, Jin Yong-Kim Won Ho dalam aksi tiga set 21-16, 19-21, 16-21.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.