KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik percaya akan melakar lebih banyak kejayaan selepas merangkul gelaran sulung di Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) di Terbuka Denmark, malam tadi.
Aaron berkata, kejayaan itu secara tidak langsung menamatkan kemarau penantian mereka sejak mula digandingkan bersama pada 2017 meskipun sudah berjaya meraih beberapa gelaran termasuk juara dunia di Tokyo 2022.
“Kepercayaan dan keyakinan pada diri sendiri itu yang paling penting dan jangan mudah mengalah. Banyak final yang kami sertai, di kejohanan besar kami dapat meraih pingat dan emas di kejohanan dunia dan kami sentiasa mencari gelaran di Jelajah Dunia.
“Hari ini (semalam) kami dapat dan saya percaya akan banyak lagi selepas ini,” kata Aaron ketika ditemuramah BWF.
Pada aksi final di Arena Jyske Bank, Odense, beregu keempat dunia itu menewaskan gandingan dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dengan keputusan straight set 21-13, 21-17.
Dalam pada itu, Wooi Yik menyifatkan kejayaan mereka itu bakal melonjakkan lagi motivasi mereka bagi menyertai kejohanan akan datang.
“Hari ini (semalam) adalah hari yang ditunggu. Saya rasa sangat gembira, ia satu motivasi buat kami. Sudah banyak perlawanan akhir kami lalui tetapi tidak berjaya, jadi ini adalah motivasi buat kami untuk terus mengorak langkah, ia adalah proses,” katanya.
Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai US$62,900 (RM299,875) dan 11,000 mata BWF dan selepas ini dijadual menyertai Terbuka Perancis dari 24 hingga 29 Oktober ini.