Tumpuan :
Sukan

Aaron-Wooi Yik mara ke suku akhir Masters Indonesia

Aksi Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Masters Indonesia. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan ke suku akhir Masters Indonesia, hari ini.

Bekas juara dunia yang tampil selaku pilihan kedua itu tidak berdepan masalah menyingkirkan gandingan Taiwan, Lu Ming Che-Tang Kai Wei 21-16, 21-16 pada aksi pusingan kedua di Istora, Senayan.

Pasangan nombor lima dunia itu dijadual menentang gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Kim Won Ho bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.

Aaron-Wooi Yik memulakan kempen musim ini dengan mengecewakan selepas tersingkir di pusingan kedua Terbuka Malaysia sebelum bangkit melangkah ke separuh akhir Terbuka India, minggu lalu.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut mara ke suku akhir selepas menundukkan gandingan tuan rumah, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu 24-22, 21-14.

Pilihan pertama kejohanan itu bagaimanapun berdepan ujian getir esok apabila dijadual bertemu juara Terbuka Malaysia, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand.

Satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin turut mengesahkan tiket ke kelompok lapan terbaik selepas bangkit daripda kekalahan set pertama untuk menewaskan Dhruv Kapila-Tanisha Crasto dari India 18-21, 21-15, 21-19 sekali gus menempah pertemuan dengan wakil Indonesia, Rinov Rivaldy-Lisa Ayu Kusumawati.

Pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie juga tidak ketinggalan melangkah ke suku akhir selepas menundukkan beregu campuran Indonesia, Marwan Faza-Aisyah Salsabila Putri Pranata 21-16, 21-9 dan akan bertemu Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini