KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berharap dapat mengekalkan momentum mereka dalam misi mempertahankan gelaran pada Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark selepas mara ke separuh akhir, awal pagi tadi.
Gandingan keempat dunia itu menewaskan beregu di ranking ketujuh dari China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 21-10, 15-21, 21-14 dalam tempoh 50 minit di Royal Arena sekali gus merekodkan kemenangan sulung ke atas lawan selepas tiga kekalahan sebelum ini.
“Saya fikir, apa yang penting adalah persiapan mentaliti di gelanggang,” kata Aaron.
“Ini kerana kami masih bimbang sama ada boleh menang atau kalah. Jika terlalu memikirkannya, ia menyebabkan kami tidak dapat beraksi dengan baik, jadi fokus dan persiapan mentaliti itu penting.”
Aaron-Wooi Yik dijadual membuat perhitungan sulung dengan gandingan Korea Selatan yang berada di ranking keenam dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae pada separuh akhir malam ini.
Beregu Korea itu menyingkirkan pasangan veteran Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-17.
Satu lagi aksi separuh akhir beregu lelaki menyaksikan pertemuan antara beregu tuan rumah, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dan pasangan China, Wang Chang-Liang Wei Keng.
“Perlawanan yang bagus (di suku akhir). Kami mahu mengekalkannya (momentum) dan kami memberi saingan dengan baik sekali. Kami bergelut di pusingan pertama dan cuba bangkit semula dengan yakin. Kami dapat berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain selepas itu.
“Harap kami dapat beraksi lebih baik esok (hari ini),” kata Wooi Yik.
Aaron-Wooi Yik muncul satu-satunya wakil negara yang mara ke separuh akhir selepas dua lagi wakil di suku akhir iaitu beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah tewas di tangan gandingan China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 21-17, 17-21, 19-21.
Manakala beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kecundang di tangan Yuta Watanabe-Arisa Higashino 11-21, 11-21.