KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa berhempas pulas sebelum mengalahkan wakil Amerika Syarikat (AS), Chen Zhi Yi-Presley Smith di pusingan pertama Terbuka Malaysia, sebentar tadi.
Turun selaku pilihan kelima, Aaron-Wooi Yik dilihat sedikit bergelut di set kedua sebelum bangkit memastikan penyokong yang hadir tersenyum ceria untuk menang dalam pertarungan tiga set 21-15, 16-21,21-10 dalam masa 58 minit .
Di set pertama, pemain di ranking keenam dunia itu tidak berdepan masalah besar untuk menang selepas mempamerkan permainan baik, namun Zhi Yi-Preslye Smith yang berada di ranking ke-37 dunia mempamerkan kebangkitan di set kedua.
Beregu AS itu bijak mengambil kesempatan atas segala kesilapan dilakukan oleh wakil negara itu untuk memaksa pemenang ditentukan di set penentuan.
Tersentak dengan kekalahan itu, bekas juara dunia dari Malaysia itu memperkemaskan semula rentak permainan dan mengurangkan segala kesilapan mudah untuk mendahului 5-0 di awal permainan dan terus menjarakkan kedudukan sebelum menutup dengan kemenangan bergaya.
Menanti mereka di pusingan kedua esok adalah wakil Taiwan sama ada Liu Kuang Heng-Yang Po Han atau gandingan kembar, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.