Tumpuan :
Sukan

Aaron-Wooi Yik cemas sebelum lepasi pusingan pertama Masters Kumamoto

FOTO: Ihsan BAM/ Facebook

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dipaksa bekerja keras sebelum berjaya melepasi pusingan pertama Masters Kumamoto di Jepun, hari ini.

Segar dengan kejayaan menjuarai gelaran Masters Korea, minggu lalu, beregu ranking enam dunia itu diheret dalam pertarungan tiga set sebelum menang ke atas lawan dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard.

Tewas pada set pertama 15-21, pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu bangkit pada dua set berikutnya 21-17, 21-9 pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Kumamoto itu dalam tempoh 52 minit.

Diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan, Aaron-Wooi Yik akan berdepan pemain Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin di pusingan kedua, esok.

Terdahulu, Hsiang Chieh-Chi Lin mara selepas menewaskan pasangan negara, Low Hang Yee- Ng Eng Cheong 21-14, 21-19.

Kemaraan menyaksikan Aaron-Wooi Yik terus mencerahkan peluang untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, bulan depan.

Secara matematik, peluang pasangan itu untuk layak ke Hangzhou belum berakhir tetapi mereka perlu sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir dalam dua kejohanan terakhir mereka iaitu di Masters Kumamoto dan Masters China yang dijadual 19 hingga 24 November ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini