comscore
Tumpuan :
Sukan

Aaron-Wooi Yik belum temui rentak

Aaron dan Wooi Yik disingkirkan beregu England di Finland.

KUALA LUMPUR: Jurulatih beregu negara, Tan Bin Shen mengakui beregu nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik masih belum menemui rentak sejak tamat saingan Sukan Olimpik Paris 2024, Ogos lalu.

Ia dapat dilihat selepas beregu nombor empat dunia itu ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan kedua Terbuka Artik di Vantaa, Finland semalam.

Bin Shen menjelaskan Aaron-Wooi Yik belum dapat menguasai sepenuhnya penguasaan gelanggang dan perkara itu menyebabkan mereka tunduk mudah kepada pasangan yang berada di ranking 16 dunia dari England, Ben Lane-Sean Vendy 13-21, 8-21 dalam tempoh 31 minit.

“Mereka sudah lama tak bermain dalam kejohanan. Belum dapat menyesuaikan diri dengan suasana dalam pertandingan. Kami akan bincang dan analisa perlawanan semalam dan harap untuk kejohanan seterusnya akan jadi lebih baik lagi,” katanya.

Diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan berstatus Super 500 Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Aaron-Wooi Yik tidak mampu mengekang setiap asakan Lane-Vendy yang cukup tangkas menguasai gelanggang untuk merakamkan kemenangan.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Lane-Vendy berjaya merekodkan kemenangan kedua mengatasi Aaron-Wooi dalam enam pertemuan sebelum ini.

Kejohanan Terbuka Artik dianggap aksi pemanas badan buat juara dunia 2022 itu sebelum turun dengan misi mempertahankan gelaran juara di Terbuka Denmark, minggu depan.

Terdahulu, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu tidak menyertai mana-mana pertandingan selepas pulang dari Paris.

Ini kerana Wooi Yik mengalami kecederaan retak jari kaki ketika beraksi di separuh akhir Olimpik Paris menentang jaguh China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik sekadar menamatkan kejohanan Terbuka Artik tahun lalu di pusingan pertama selepas tewas 11-21, 18-21 kepada rakan sepasukan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Bagaimanapun, mereka melakukan kebangkitan apabila merangkul kejuaraan pada kejohanan berikutnya dengan memenangi Terbuka Denmark selepas menang 21-13, 21-17 ke atas beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana pada aksi final.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini