comscore
Tumpuan :
Sukan

Aaron-Wooi Yik akui komunikasi semakin baik 

Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik semasa sidang media Pasca Olimpik Paris 2024 di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.- FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat gangsa Olimpik Paris, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui berlaku banyak salah faham dalam permainan mereka dua tahun lalu, bagaimanapun masalah itu kian dapat ditangani.

Menurut Aaron, faktor komunikasi amat penting bagi mengekalkan persefahaman dan keserasian antara mereka berdua.

“Apa yang penting adalah komunikasi bagi mengelak salah faham. Dua tahun lalu, kami berdepan banyak salah faham tetapi sekarang, ia semakin baik,” katanya.

Justeru Aaron-Wooi Yik mahu gandingan antara mereka berdua kekal untuk tempoh yang lama sekali gus mengikut jejak langkah idola dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Begitupun, Wooi Yik berkata, ia bukan sesuatu yang mudah memandangkan dia dan Aaron harus memastikan mereka sentiasa berada dalam kondisi terbaik, apatah lagi usia semakin meningkat.

“Sudah tentu saya dan Aaron sudah membincangkan perkara ini dan mahu gandingan kami kekal selama mungkin kerana kami tahu yang kami mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh dan kami belum berada di puncak (prestasi).

“Kami mahu memenangi kejohanan utama seperti Ahsan-Hendra dan nak jadi macam mereka. Kami sudah meraih pingat di kejohanan utama tetapi tidak kesemuanya emas dan itu yang kami mahu capai,” kata Wooi Yik.

Pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, beregu nombor tiga dunia itu menghadiahkan kilauan pingat gangsa  selepas menewaskan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 di perlawanan penentuan gangsa, 4 Ogos lalu.

Ia juga gangsa kedua buat Aaron-Wooi Yik di Olimpik, selepas meraih pingat sama di Tokyo 2020.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini