Oleh: Syakirah Zulkifly
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan kembali ke gelanggang bermula di Terbuka Finland 8 Oktober depan diikuti Terbuka Denmark pada minggu berikutnya.
Sebelum ini pasangan di ranking kelima dunia itu terlepas beberapa kejohanan siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas pulang dari Sukan Olimpik Paris 2024 Ogos lalu.
Ia susulan Wooi Yik dibelenggu kecederaan retak jari kaki ketika beraksi di saingan separuh akhir temasya berprestij berkenaan.
“Lebih daripada tempoh sebulan saya fokus menjalani proses pemulihan dan kini keadaan saya sudah semakin baik.
“Saya dan Aaron akan mula kembali ke gelanggang di Terbuka Finland sebelum Terbuka Denmark sebagai juara bertahan” kata Wooi Yik ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia hari ini.
Aaron-Wooi Yik yang kini berada di kedudukan ke-15 ranking Jelajah Dunia Akhir BWF menyaksikan peluang mereka untuk layak ke kejohanan penutup tirai itu agak tipis apabila hanya lapan pasangan terbaik bakal beraksi di Hangzhou bermula 13 Disember nanti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.