KUALA LUMPUR: Beregu juara remaja dunia, Aaroi Tai-Kang Khai Xing dipaksa bekerja keras dalam aksi tiga set sebelum melepasi pusingan pertama Kejohanan Super 100 Malaysia, hari ini.
Berdepan beregu Taiwan, Chiang Chien Wei-Wei Chun Wei yang tidak diletakkan pilihan, Aaron-Khai Xing tewas 18-21 pada set pertama pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara.
Begitupun, permainan lebih kemas ditampilkan pada set kedua untuk menang 21-17 sebelum melengkapkan perlawanan dengan keputusan 21-19 dalam aksi yang berlangsung selama 53 minit.
Khai Xing yang baru pulang ke tanah air pada malam Isnin lalu selepas bergelar juara remaja dunia pada Ahad, mengakui keadaan fizikalnya sedikit merosot memasuki perlawanan berkenaan.
“Fizikal memang ada jatuh sikit tetapi kami fokus kepada setiap pukulan dan mata untuk cuba menang.
“Kami cuba untuk tidak memberikan mereka bola tinggi kerana serangan mereka juga bagus,” katanya.
Sementara itu, Aaron mengakui gelaran yang diperoleh di Nanchang, China membuatkan mereka lebih bersemangat.
“Untuk kejohanan ini, kami ada sasaran sendiri. Apapun, kami berharap untuk mendapatkan lebih banyak gelaran di peringkat senior,” katanya.