comscore
Tumpuan :
Sukan

Aaron Chia-Soh Wooi Yik tarik diri saat akhir di Terbuka Perancis

Foto: Ihsan BAM

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menarik diri sebelum memasuki gelanggang pusingan pertama Terbuka Perancis 2023.

Tindakan itu memberikan kemenangan percuma kepada pasukan lawan dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, sekali gus mara ke pusingan kedua untuk bertemu beregu China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu, esok.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu hantaran di laman Facebook mengesahkan perkara berkenaan selain berharap beregu utama negara itu akan kembali dengan lebih bertenaga.

“Aaron Chia-Soh Wooi Yik menarik diri dari Terbuka Perancis 2023. Kami menantikan kemunculan semula mereka dengan bertenaga,” tulis BAM di Facebook.

Aaron-Wooi Yik memegang rekod kemenangan dalam lapan pertemuan ke atas Carnando-Marthin sebelum ini dengan kali terakhir menumpaskan lawan dari Indonesia itu di suku akhir Terbuka Singapura, Jun lalu.

Pada minggu lalu, gandingan pemenang pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou itu menamatkan kemarau penantian gelaran di Siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Terbuka Denmark selepas mula digandingkan pada 2017.

Pemenang Kejohanan Dunia 2022 di Tokyo itu menewaskan lawan mereka dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dengan keputusan 21-13, 21-17 di pentas final yang berlangsung di Arena Jyske Bank, Odense.

Selepas ini, Aaron Chia-Wooi Yik dijadual menyertai Masters Jepun dari 14 hingga 19 November dan bakal bertemu lawan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin di pusingan pertama.

Loading...
Terkini