comscore
Tumpuan :
Sukan

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik tewas pada aksi final Terbuka China

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik gagal lagi jinakkan gandingan China, Liang Wei Keng dan Wang Chang. – Foto: PERSATUAN BADMINTON MALAYSIA / Facebook

CHANGZHOU CHINA: Hasrat peminat badminton negara menyaksikan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik membawa pulang kejuaraan Terbuka China nampaknya tidak kesampaian.

Pada aksi final petang tadi, mereka yang diletakkan selaku pilihan ke-4 tumpas kepada pasangan tuan rumah, Liang Wei Keng dan Wang Chang, juga pilihan ke-3 kejohanan.

Lebih mengecewakan, Aaron/Wooi Yik gagal memberi tentangan yang sewajarnya apabila kecundang cuma dalam tempoh 26 minit.

Penampilan  kemas Wei Keng/Wang Chang di hadapan penyokong sendiri memang sukar dicabar oleh pasangan negara apabila tunduk 12-21 pada set pertama.

Cuba memberi saingan pada set berikutnya, Aaron/Wooi Yik terus buntu merungkai dan mengatasi keserasian Wei Keng/Wang Chang mengawal gelanggang.

Gandingan China itu memastikan kejuaraan milik mereka apabila menamatkan set kedua 21-14.

Ini kekalahan kelima Aaron dan Wooi Yik kepada Wei Keng dan Wang Chang daripada enam pertemuan sejak Oktober 2022, dengan kemenangan tunggal diraih Aaron/Wooi Yik pada kejohanan Masters Indonesia Januari lepas.

Selain beregu lelaki, China turut menjuarai beregu wanita menerusi pilihan pertama kejohanan, Cheng Qing Chen dan Jia Yi Fan yang mengalahkan wakil Korea, Baek Ha Na dan Lee So Hee 21-11, 21-17.

Korea bagaimanapun turut membawa pulang dua kejuaraan menerusi beregu campuran, Seo Seung Jae dan Chae Yu Jung yang mengalahkan pasangan Perancis Thom Gicquel dan Delphine Delrue 21-19, 21-12.

Manakala pemain nombor satu dunia, An Se Young pula menepati ramalan menjuarai peseorangan wanita menewaskan pencabar ketatnya Akane Yamaguchi dari Jepun 21-10, 21-19.

Victor Axelsen memecah monopoli pemain Asia apabila, jaguh nombor satu dari Denmark itu menjuarai perseorangan lelaki, menundukkan pemain tuan rumah, Lu Guang Zu, 21-16, 21-19.

Loading...
Terkini