KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya perlu menekan Thailand dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada corak permainan bertahan dalam tempoh 90 minit aksi separuh akhir kedua Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Thammasat, Selasa ini.
Perkara itu disuarakan bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan yang menyifatkan kemenangan 1-0 dalam aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin masih belum selamat buat anak buah Kim Pan Gon.
Wan Jamak menjelaskan, Thailand mempamerkan kualiti tinggi dengan menguasai lebih 70 peratus permainan di Stadium Nasional kelmarin dan skuad Gajah Perang pasti akan bermain habis-habisan untuk memadam kelebihan dimiliki pasukan kebangsaan.
Justeru, jurulatih berpengalaman itu berpandangan bahawa skuad Harimau Malaya juga perlu menyerang dalam memberi tekanan kepada Thailand bagi mengelak ruang besar dimiliki lawan untuk mendapatkan jaringan.
Katanya, peluang lebih baik buat skuad Harimau Malaya jika mereka boleh mendapatkan gol awal bagi menambah tekanan terhadap Thailand terutama apabila peraturan jaringan tempat lawan masih diguna pakai dalam kejohanan Piala AFF.
“Kalau bagi saya, istilah bertahan yang baik dalam bola sepak adalah menyerang. Ia kerana jika bertahan, berapa lama kita boleh bertahan? Jadi pertahanan terbaik adalah kita menyerang.
“Tetapi pada masa yang sama jangan lupakan pertahanan, maknanya kalau hilang bola pemain harus cepat turun kembali dan ia memerlukan disiplin yang tinggi.”Strategi juga perlu dibuat oleh staf kejurulatihan bagaimana nak dapatkan satu gol tempat lawan sebelum Thailand membuat tindak balas.
“Maknanya apabila kita dapat satu gol, tekanan lebih kepada Thailand sebab mereka kena cari tiga gol. Jadi, satu gol itu sangat penting dan jika pemain kita dapat satu gol dalam 30 minit pertama, saya fikir peluang kita lebih besar.
“Saya percaya barisan kejurulatihan sudah membuat analisis bagaimana nak menghadapi Thailand di sana nanti. Thailand pasukan yang sangat bagus terutama dari segi hantaran dan mereka tidak takut membuat hantaran di celah dua pemain lawan,” katanya kepada BH Sukan.
Berdasarkan statistik perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Nasional, 72.3 peratus penguasaan bola milik Thailand berbanding Harimau Malaya hanya 27.7 peratus.
Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail memberi bayangan barisan pemain skuad Harimau Malaya perlu lebih berani dalam mengawal bola sekiranya tidak mahu berdepan kekecewaan di Bangkok nanti.
“Saya tengok semalam permainan kita tak boleh kawal bola lama, itu perbezaan dengan Thailand yang mana sentuhan pertama mereka pun bagus. Malah, dalam ruang sempit pun mereka boleh keluar.
“Mereka juga lebih kemas dalam melakukan hantaran termasuk berjaya menembusi benteng pertahanan, tetapi kita bernasib baik tidak kalah. Jadi, tugas sukar untuk kita di Thailand nanti jika kekal bermain seperti itu,” katanya.