Program Fast Track dibawah inisiatif jawatakuasa Road to Gold (RTG) terus diperkukuh apabila empat pemain skuasy negara yang disenaraikan dalam program berkenaan kini tidak lagi perlu runsing tentang kos persiapan awal menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 nanti.
Ianya apabila segala keperluan program latihan mereka bagi tempoh empat tahun ini telah diluluskan jawatankuasa RTG.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengadakan bengkel Fast Track RTG bersama Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Jurulatih, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) awal Mei lalu, dimana empat pemain skuasy negara dibarisi Ng Eain Yow, S. Sivasangari, Aifa dan Aira Azman bakal menerima geran latihan individu berbentuk bantuan kejutulatihan khusus, peralatan dan latihan serta perkhidmatan sokongan perubatan dan sains sukan.
Selain itu, mereka juga diberi pendedahan latihan luar negara serta khidmat kepakaran teknikal dalam sukan masing-masing.
Sivasangari akan terus berpangkalan di new york bersama jurulatihnya, David Palmer.
Manakala, Eain Yow yang baru menamatkan pengajian di United Kingdom Jun lalu, memilih untuk menjalani latihan di akademi Msquash Norwalk di Connecticut, bersama jurulatihnya Shaun Moxsham yang telah bersamanya sejak dua tahun lalu.
Sementara Aifa dan Aira pula akan meneruskan latihan di tanah air bersama jurulatih kebangsaan Andrew Sam Cross.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa