comscore
Tumpuan :
Sukan

350 pesilat bersaing rebut 110 pingat emas 

Antara aksi menarik pesilat dalam Kejohanan Silat Varsiti dan Jemputan Antarabangsa 2024, bermula Khamis lalu hingga esok di Dewan Sultan Ibrahim Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini. (Foto ihsan UTHM)

BATU PAHAT: Seramai 350 pesilat tempatan dan antarabangsa berentap dalam Kejohanan Silat Varsiti dan Jemputan Antarabangsa 2024, bermula Khamis lalu hingga esok di Dewan Sultan Ibrahim Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini.

Ketua Sekretariat dari Pusat Sukan UTHM, Dr Azli Puddin berkata kejohanan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dan UTHM itu diadakan dengan kerjasama Persekutuan Pesilat Kebangsaan (PESAKA) membabitkan 33 pasukan termasuk 60 peserta dari Thailand dan Indonesia.

Katanya, pesilat akan berentap merebut 110 pingat dalam dua acara iaitu Silat Tanding (68 pingat) dan Silat Seni (42 pingat) serta merebut tiga piala utama iaitu Pesilat Terbaik Putra, Pesilat Terbaik Putri dan Juara Keseluruhan kejohanan.

“Objektif kejohanan ini diadakan adalah untuk menghidupkan semula seni silat dalam kalangan pelajar universiti di samping mencungkil bakat bakat baharu silat untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan Sukan Universiti Asean (AUG).

“Usaha ini juga selari dengan hasrat dan dasar pembangunan sukan kementerian sendiri bagi melestarikan penghasilan 30 peratus ‘thinking athlete’.

“Di mana lebih 30 peratus atlit negara mestilah terdiri daripada pelajar universiti dan kejohanan ini salah satu usaha keras ke arah itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, majlis penutup kejohanan akan diadakan esok di venue pertandingan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UTHM, Datuk Seri Ibrahim Ahmad.

Dalam pada itu, pasukan Laskar Penglipur Garut dari Indonesia menunjukkan taringnya apabila membolot lima tempat pertama dari lapan acara Silat Seni.

Pingat emas itu disumbangkan oleh pesilat Fariz Rizkiya Pilano dalam acara Jurus Tunggal Putra, M K A Romi (Solo Kreatif Putra); Alvi Rukmana (Solo Kreatif Putri); Fadilah Izharudin dan Fariz Rizkiya Pilano (Ganda Putra); Ismi Nurcahyani dan Alvi Rukmana (Ganda Putri).

Pingat emas Thailand disumbangkan oleh Sobri Cheni, Abdul Karim Kolee dan Islamee Wani (Regu Putra) dan Kwanchira Suwanchot, Phakthima Ainchan dan Wongthida Chanphitak (Regu Putri).

Manakala pasukan negara, Nurul Shahila Noor Rasid mewakili UPM A menang pingat emas acara Jurus Tunggal Putri.

Hari ini pusingan suku akhir, separuh akhir dan akhir Silat Olahraga berlangsung sejak pagi hingga 10 malam nanti.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini