KUALA LUMPUR: Tiga lagi pelumba negara diberikan slot ‘wild card’ untuk beraksi pada saingan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang bermula 21 hingga 23 Oktober ini.
Mereka adalah Khairul Idham Pawi, Kasma Daniel Kasmayuddin dan Azroy Hakeem Annuar yang akan bersaing dalam kelas Moto2.
Perkembangan itu diumumkan penaja utama GP Malaysia, PETRONAS menerusi hantaran pada akaun Facebook PETRONAS Motorsports, semalam.
“PETRONAS kembali bukan sekadar penaja utama tetapi akan menonjolkan pelumba Malaysia, Azroy Hakeem Anuar, Kasma Daniel dan Khairul Idham Pawi dalam Kejuaraan Dunia FIM Moto2,” menurut hantaran berkenaan.
Bagaimanapun, PETRONAS tidak mendedahkan pasukan mana yang akan diwakili ketiga-tiga pelumba negara itu yang turut beraksi Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini.
Perkembangan terbaru itu menyaksikan Malaysia akan mempunyai empat pelumba beraksi pada GP Malaysia musim ini selepas Syarifuddin Azman yang lebih dikenali sebagai Damok turut diberikan slot wild card dalam kelas Moto3, Ogos lalu.
Sementara itu, Khairul Idham yang diberikan julukan Super KIP, berkata dia terpaksa menyembunyikan perkara berkenaan termasuk menjalani pemilihan secara rahsia di Sepanyol, bulan lalu.
“Ketika diberitahu mengenai perkara ini, saya difahamkan mereka mahu mencari dua pelumba sahaja, apatah lagi saya pun sudah lama tidak mengendalikan jentera yang digunakan untuk Moto2.
“Habis sesi pemilihan di Sepanyol, saya ingat tidak dapat tetapi mereka (pasukan) beritahu yang saya terpilih, jadi saya agak teruja,” katanya yang tidak meletakkan harapan tinggi memandangkan daripada tiga pelumba yang disenaraikan, seorang akan diletakkan sebagai pelumba simpanan.
KIP sebelum ini pernah beraksi pernah beraksi masing-masing dalam kelas Moto3 dan Moto2 pada GP Malaysia dengan kali terakhir pada musim 2018. -BERITA HARIAN