Tumpuan :
Sukan

3 pasukan Liga A1 antara yang layak rebut Piala Malaysia musim ini

Melaka FC, Kuala Lumpur Rovers FC dan PT Athletic FC.

KUALA LUMPUR: Bukan satu atau dua, tetapi tiga pasukan teratas dalam saingan pusingan pertama Liga A1 Semi Pro layak berentap bersama 13 pasukan Liga Super bagi merebut Piala Malaysia 2024/25 yang akan bermula di pusingan 16.

Tiga pasukan terbabit adalah Melaka FC, PT Athletic FC dan Kuala Lumpur Rovers FC dengan saingan musim ini menyaksikan tiga pasukan semi profesional bertanding di Piala Malaysia berbanding dua pasukan pada musim lalu.

Tiada perubahan daripada segi format pertandingan di mana aksi pusingan 16, suku akhir dan separuh akhir akan dimainkan secara timbal balik sama seperti edisi sebelum ini.

Proses undian pada musim ini menyaksikan kelab yang berada di tangga pertama hingga kelapan selepas pusingan pertama Liga Super layak secara automatik ke pusingan 16 selaku pasukan ‘seeded’.

Baki lima lagi kelab yang berada di kedudukan kesembilan hingga 13 selepas pusingan pertama Liga Super akan diundi bersama-sama tiga kelab teratas Liga A1 Semi-Pro untuk menentukan lawan masing-masing bertemu pasukan ‘seeded’ dan undian akan dijalankan secara terbuka.

Undian Piala Malaysia ini akan berlangsung pada 11 November dengan perlawanan pertama pusingan 16 dijangka bermula pada 20 November.

Pasukan yang gagal meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia secara automatik akan bertanding di pentas Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2024/25.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini