Tumpuan :
Sukan

28 Atlet Cemerlang Selangor Terima Insentif

Foto: MSN Selangor

KLANG: Seramai 28 atlet Selangor menerima insentif kemenangan berjumlah RM92,900 hasil pencapaian cemerlang pada temasya Sukan SEA Hanoi 2022 dan Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Insentif disampaikan oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu majlis di Istana Alam Shah di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor memperuntukkan pemberian insentif sebanyak RM59,900 bagi Sukan SEA Hanoi dan RM33,000 bagi Sukan Komanwel Birmingham sebagai menghargai jasa serta pembabitan penggiat sukan di Selangor.

Pemain beregu badminton wanita, M Thinaah adalah penerima insentif terbesar dengan membawa pulang RM22,000 atas kejayaan menyumbang dua pingat emas Sukan Komanwel 2022.

Atlet kelahiran Klang itu berkata insentif berkenaan sedikit sebanyak memberi semangat kepada dia untuk terus berlatih bagi menghadapi perlawanan akan datang.

“Sumbangan ini juga adalah motivasi untuk atlet Selangor dan kami amat gembira serta menghargai insentif ini,” katanya kepada media.

Thinaah berkata beliau kini gigih berlatih untuk Terbuka Denmark dan Perancis pada bulan depan manakala pasangan beregunya, Pearly Tan masih dalam tempoh pemulihan akibat kecederaan yang dijangka mengambil masa empat hingga enam minggu.

“Apapun, kita akan tumpukan kepada pemulihan Pearly buat masa ini kerana itu yang lebih penting daripada mana-mana kejohanan,” katanya.

Bagi atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, insentif itu dapat memberi motivasi kepada atlet untuk terus berjuang dalam industri sukan dan mencapai prestasi lebih baik.

“Insentif ini juga akan menyuntik semangat rakan-rakan atlet yang masih di bawah dan akan berusaha untuk mencapai kemenangan di kejohanan akan datang,” katanya yang meraih pingat gangsa di Sukan SEA ke-31.

Menurutnya pada tahun ini, beliau memberi tumpuan pada sesi latihan bagi menghadapi pelbagai kejohanan termasuk Sukan SEA, Sukan Para ASEAN dan Sukan Para Asia bermula Mei 2023.- BERNAMA

Loading...
Terkini