Tumpuan :
Sukan

25 pasukan berentap pada Kejohanan Hoki Piala Tun Razak 2023

Ketua jurulatih Perak, K Rajan dan kapten pasukan Syed Syafiq Syed Cholan bersama Piala Tun Abdul Razak pada sidang media hari ini. – Foto: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak 2023 yang bermula esok hingga 21 Okober ini menyaksikan sebanyak 25 pasukan mengesahkan penyertaan.

Berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dan Stadium Hoki Konfederasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Lembah Pantai, 13 pasukan akan berentap memburu kejuaraan dalam kategori lelaki sementara 12 pasukan bersaing dalam kategori wanita yang akan dibahagikan kepada kumpulan A dan B.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata kejohanan tahun ini tidak disertai pasukan Sarawak dan Kelantan bagi kedua-dua kategori manakala Kedah hanya menghantar pasukan lelaki.

“Sabah pula tidak menghantar skuad lelaki. Kemungkinan negeri-negeri tersebut tidak menghantar wakil kerana tidak cukup persiapan serta pemain dan ada juga (pasukan) yang sedang membuat persiapan bagi perlawanan lain akan datang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kategori lelaki Piala Tun Abdul Razak 2023 menyaksikan penyertaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Perak, Johor, Terengganu, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Selangor dan Kedah.

Saingan wanita pula yang bertanding ialah Selangor, Pulau Pinang, ATM, Negeri Sembilan, Sabah, Perak, Melaka, Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur, PDRM dan Johor.

Sementara itu pasukan hoki lelaki Perak melaungkan amaran awal untuk mempertahankan kejuaraan sekaligus  mencipta  kejuaraan keempat berturut-turut.

Perak diletakkan dalam Kumpulan A bersama Johor, Terengganu, Angkatan Tentera Malaysia dan Negeri Sembilan.

Pasukan yang dibimbing jurulatih berpengalaman, K Rajan itu dijadual memulakan kempen bertemu Kuala Lumpur.

“Sasaran kita macam tahun sebelum ini, nak kekal menjadi juara. Walaupun kita menyertai kempen kali ini selaku juara bertahan, ia bukan mudah kerana kita pun kehilangan pemain kebangsaan dan menggunakan khidmat pemain sekolah.

“Namun saya dapat rasakan yang pasukan mempunyai pengalaman yang cukup untuk mempertahankan kejuaraan,” kata Rajan yang turut memaklumkan pasukannya dibarisi 14 pemain berpengalaman dan empat pemain muda.

Pada edisi tahun lalu, Perak muncul juara buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Pahang 5-1 sekali gus menjadikan ia gelaran kelima dalam tempoh enam tahun.

Bagi ketua pasukan Perak, Syed Syafiq Syed Cholan, perlawanan  peringkat kumpulan kali ini hampir menyamai edisi tahun lalu namun baginya, pasukannya tidak boleh memandang ringan kemampuan lawan.

Loading...
Terkini