Tumpuan :
Sukan

Azeem dan Shereen bakal dapat ‘habuan’

 

Shereen Samson Vallabouy.- Foto: NSTP

KAMPAR: Dua atlet olahraga negara, Muhammad Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy akan mendapat habuan lumayan daripada kerajaan negeri Perak.

Habuan itu atas pencapaian membanggakan mereka di pentas Sukan Asia Hangzhou 2022, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah, berkata kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak akan mengumumkan insentif khas itu dalam masa terdekat.

“Pertamanya, saya mewakili kerajaan Perak mengucapkan syabas dan tahniah kepada dua atlet negeri kita, Muhammad Azeem dan Shereen yang berjaya meraih pingat gangsa dalam acara disertai.

“Pihak MSN Perak memang sediakan insentif bagi atlet negeri yang mencipta kejayaan dalam bidang sukan diceburi. Maka, Azeem dan Shereen juga tak terkecuali menerima insentif daripada MSN Perak.

“Insya-Allah, kerajaan negeri akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan 30 Unit Komputer Riba dan Program E-Kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar, di sini, hari ini.

Muhammad Azeem Fahmi.- Foto: Reuters

Azeem 19, dari Teluk Intan memenangi pingat gangsa dalam acara 100 meter, manakala Shereen, 25, yang berasal dari Ipoh memenangi dua pingat gangsa menerusi acara 400m dan kuartet 4x100m.

Disember lalu, kerajaan Perak mengumumkan pemberian Dana Pendidikan Negeri bernilai RM600,000 kepada Muhammad Azeem menerusi Belanjawan Perak 2023 sebagai galakan kepada anak muda lain untuk berjaya dalam bidang pendidikan dan sukan.

Azeem ketika ini menyambung pengajian dan meneruskan program latihannya di Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat (AS) sejak Januari lalu.

Shereen yang kini bergelar atlet profesional turut berpangkalan di AS selepas menamatkan pengajiannya di Winona State University di Minnesota.

Loading...
Terkini