PUTRAJAYA: Kejohanan E-Sukan sempena Hari Sukan Negara, HSN 2022 berjaya menarik lebih 15,000 penyertaan dari pelbagai kategori permainan.
Bermula di peringkat daerah yang dilangsungkan dari 7 hingga 15 September lalu, seramai 15,345 peserta tampil mengambil bahagian dengan jumlah 217 peserta dari 15 buah negeri layak ke peringkat akhir kejohanan.
Kejohanan E-Sukan HSN tahun ini merupakan kejohanan siri keempat dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Persatuan Sukan Elektronik Malaysia, MESF.
Kategori yang dipertandingkan adalah PUB-G Mobile dan Mobile Legend Bang Bang (MLBB).
Berbeza dengan penganjuran edisi sebelumnya, pemain-pemain yang dihimpunkan di Putrajaya turut mengikuti beberapa aktiviti yang telah diatur termasuklah Perlawanan Futsal Persahabatan pada hari pertama, diikuti dengan Forum E-Sukan pada hari kedua membincangkan beberapa tajuk, antaranya Peranan Persatuan Dalam E-Sukan, Bidang Kerjaya Dalam E-Sukan dan Perniagaan Dalam Industri E-Sukan.
Turut diadakan, 9 jenis Pocket Event Esports dengan kategori Tekken 7 dan E-Football merupakan pentas pemilihan wakil negara ke Kejohanan World Esports Games yang akan berlangsung di Bali, Indonesia penghujung November nanti.