SEREMBAN: Seramai 400 peserta menyertai ujian pemilihan terbuka Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) peringkat Negeri Sembilan 2025, yang diadakan di dua lokasi berbeza – Seremban dan Nilai – Sabtu dan Ahad lalu.
Mereka membabitkan kanak-kanak berusia antara 7 hingga 12 tahun yang hadir bersama ibu bapa masing-masing dengan ujian pemilihan dibuat mengikut kategori umur bawah 7, 8, 9, 10, 11 dan 12 tahun.
Ketua jurulatih NFDP negeri, Zahiruddin Amirudin berkata, dalam ujian pemilihan yang dijalankan selama hampir tiga jam itu, seramai 150 peserta melepasi saringan awal.
Katanya, mereka akan mengikuti saringan berikutnya dengan peserta yang layak akan berpeluang ditempatkan di Akademi Tunas yang diwujudkan di beberapa daerah di negeri ini.
“Peserta yang berjaya akan diberikan bimbing daripada segi kemahiran pemainan bola sepak selain pendedahan dalam beberapa kejohanan peringkat dalaman, antara zon dan kebangsaan.
“Program ini untuk meningkatkan kualiti bola sepak negara dengan melatih pemain dari peringkat akar umbi dengan mereka yang layak bakal ditempatkan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Kuantan sebaik berusia 13 tahun.
“Ini adalah program kerjasama antara Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam usaha menghasilkan pemain bertaraf dunia pada masa hadapan,” kata Zahiruddin.
Menurut Zahiruddin, pelatih yang berpotensi akan diserapkan di pusat-pusat kecemerlangan bola sepak di seluruh negara mengikut kategori di Pusat Latihan Daerah, Sekolah Sukan Negeri, Sekolah Sukan Malaysia dan AMD apabila mereka berusia antara 13-17 tahun.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.