KUALA LUMPUR: Lima penaja besar membabitkan syarikat gergasi tempatan bakal memeriahkan Liga Malaysia musim ini.
Penambahan dua penaja daripada 13 pada musim lalu itu bakal menyaksikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meraih peningkatan pendapatan yang dijangka melonjak puluhan juta berbanding tahun sebelumnya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam, peningkatan pendapatan itu bagaimanapun sejajar dengan penambahan kos operasi terutama penggunaan sistem video bantuan pengadil (VAR) yang mencecah RM5 juta setahun.
Katanya, peningkatan tajaan itu membuktikan tahap kepercayaan penaja kepada industri bola sepak tempatan semakin mendapat perhatian dan ia secara langsung membantu meningkatkan kualiti serta imej Liga M.
“Kita ada 12 yang sudah sah, lagi tiga dalam rundingan terakhir dan sebaik liga bermula, kita akan ada 13 penaja dan dua lagi akan masuk dalam suku perjalanan liga musim ini.
“Ia disebabkan ada perbincangan dari sudut undang-undang dan lain-lain. Ia hanya proses peringkat perundangan yang perlu kita hormati dan dalam musim ini, kita akan ada 15 penaja keseluruhan.
“Sedikit lebih besar (pendapatan tajaan), kalau kita dapat selesaikan rundingan terakhir dengan dua lagi penaja yang saya katakan tadi, saya boleh katakan lebih cukup daripada tahun lalu.
“Tapi tahun ini pun kita mengalami kos yang lebih dengan VAR yang terpaksa dilaksanakan dengan kos operasi amat tinggi.“Saya harap kita dapat menyelesaikan semua harapan penyokong dan keperluan tempatan yang kita belum kenal pasti,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian bersama penaja baharu, Hong Leong MSIG Takaful di sini, hari ini.
Berdasarkan rekod, pada musim 2021 MFL mengumumkan mereka menerima tajaan berjumlah RM33.4 juta yang turut merangkumi hak penyiaran perlawanan bagi memastikan kelancaran saingan Liga M.
Biarpun pada musim 2022 dan 2023 jumlah tajaan diterima tidak diumumkan secara rasmi, peningkatan itu boleh dilihat menerusi pengumuman agihan pendapatan kepada setiap pasukan bertanding.
Contohnya musim lalu, MFL membuat agihan pendapatan sebanyak 96.55 peratus berbanding jumlah “distribution pool” yang diterima 14 pasukan ini pada 2022 lalu.
Ditanya berapa syarikat yang masih kekal bersama MFL musim ini, Stuart mengakui enam penaja daripada musim lalu masih bersama pentadbir liga tempatan itu.
“Kita ada enam penaja yang masih bersama kami dan tujuh telah keluar, dan pada masa ini enam lagi masuk dan ini semua jenama tidak pernah bersama sukan pun.
“Saya ada harapan besar kami jadi peneroka baharu kepada jenama atau sektor korporat ke sektor sukan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.