KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) hari ini mengumumkan seramai 15 pemain sebagai persediaan ke Sukan Asia 2022 di Hangzhou nanti.
Kesemua mereka bakal mengikuti program latihan selama lebih dua minggu di Thailand yang turut diisi dengan satu pertandingan jemputan disana sebelum 12 pemain terakhir dipilih membawa cabaran negara.
Daripada senarai 25 pemain yang berada di dalam program penilaian prestasi, barisan kejurulatihan sepak takraw kebangsaan mengecilkan pelatih dengan menggugurkan 10 lagi pemain.
Sebanyak lima pemain dipilih bagi setiap posisi iaitu tekong, apit kanan dan apit kiri mengambil kira aksi di Sukan Sea Kemboja, Liga Sepak Takraw (STL) dan Piala Raja Thai yang lalu.
Tekong senior dan berpengelaman, Mohammad Syahir Mohd Rosdi bersaing bersama Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Muhammad Haziq Hairul Nizam, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin dan Muhammad Hairul Hazizi Haidzir
Apit kanan yang disenaraikan Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar, Muhammad Shahalril Aiman Halim dan Mohamad Azlan Alias.
Amirul Zazwan Amir, Mohd Muqlis Borhan, Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Zaim Razali dan Farhan Adam pula membarisi apit kiri.
Skuad takraw kebangsaan akan menjalani latihan di Ratchaburi seterusnya menyertai pertandingan di Pattaya, Thailand dari 17 Ogos hingga 4 September nanti.
Selepas itu, baharulah skuad lengkap 12 pemain diumum untuk mengambil bahagian acara regu dan berpasukan dijadual bermula 24 September depan.