comscore
Tumpuan :
Sukan

109 bas penyokong JDT bertolak ke Bukit Jalil

Sebahagian penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) menaiki bas di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin pagi tadi untuk ke Bukit Jalil menyaksikan final Piala FA, malam nanti. – Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Anggaran 109 bas membawa lebih 4,000 penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dari seluruh negeri berlepas ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pagi ini untuk menyaksikan final Piala FA.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak JDT, Mohd Fadzli Sapie, berkata semua penyokong teruja untuk menyaksikan pertembungan skuad Harimau Selatan menentang Selangor FC, malam ini.

Mohd Fadzli berkata, kelab menyediakan 11 bas bagi membawa penyokong dari Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin, di sini yang bergerak kira-kira jam 8 pagi tadi.

“Di Stadium Larkin (Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos) sahaja, kita menyediakan 11 bas dengan 440 penyokong. Sebanyak 80 bas lagi dinaiki penyokong Boys Of Straits dan mereka juga bertolak pagi ini dari lokasi yang ditetapkan sendiri.

“Penyokong dari daerah, termasuk Muar, Segamat dan Tangkak, juga bergerak ke Stadium Nasional Bukit Jalil pagi ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos.

Untuk rekod, JDT telah memenangi Piala FA sebanyak tiga kali, iaitu pada 2016 dan dua kali berturut-turut pada 2022 dan tahun lalu.

Dalam pada itu, Mohd Fadzli ketika taklimat sebelum penyokong berlepas, menasihatkan mereka menjaga disiplin, tidak melayan atau menimbulkan provokasi bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

“Semua penyokong telah diberikan taklimat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL). Kita mahu elak provokasi dan perkara yang menimbulkan kemarahan, malah SOP untuk masuk stadium pun kita tekankan bagi mengelakkan insiden tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, penyokong JDT yakin pasukan kesayangan mereka akan menjulang trofi Piala FA, malam ini, termasuk suri rumah, Lizawati Palil, 41, yang meramalkan JDT akan menang 2-0.

Lizawati berkata, dia dan rakan baiknya, Sharifah Maznah Syed Salim, 51, bertolak jam 6 pagi dari FELDA Sungai Mas, Kota Tinggi ke Larkin untuk menaiki bas disediakan.

“Kami berdua tidak pernah melepaskan peluang menyaksikan perlawanan akhir membabitkan JDT di Stadium Bukit Jalil sejak lima tahun lalu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini