KUALA LUMPUR: Satu lagi slot terakhir masing-masing ke final Piala Malaysia dan Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) masih terbuka untuk direbut kedua-dua semifinalis sekali gus menjanjikan aksi separuh akhir kedua yang lebih sengit dan ‘garang’ pada malam ini.
Juara empat kali Piala Malaysia, Sri Pahang FC (SPFC) dan Sabah FC membawa bekalan tipis satu gol menuju aksi kedua Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) selepas kedua-duanya terikat 1-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Likas, sebelum ini.
Situasi ini menyaksikan SPFC dan Sabah FC memiliki peluang sama rata untuk merebut slot ke pentas berprestij itu dengan mereka akan berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang melangkah ke final selepas mengatasi Terengganu FC (TFC) semalam.
Meskipun skuad bimbingan Fandi Ahmad berkelebihan menerusi aksi di hadapan penyokong sendiri, namun mereka mengharungi rekod kurang ‘manis’ berdepan skuad ‘Badak’ apabila gagal meraih kemenangan dalam enam pertemuan terakhir.
Kali terakhir mereka merakam kemenangan ke atas Sabah FC adalah pada 2021 di mana mereka menang 2-1 dan enam pertemuan selepas itu menyaksikan mereka tewas empat kali dan seri dua kali.
Sementara itu, satu lagi tiket ke final Piala Cabaran MFL akan menjadi rebutan antara juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor FC (SFC) dan Penang FC dengan SFC hanya membawa kelebihan satu gol menuju aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Menariknya, aksi malam ini menjadi pertembungan ‘hatrik’ di mana ini kali ketiga berturut-turut SFC menentang lawan sama selepas pertemuan di Piala Cabaran MFL dan juga Liga Super.
Skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi pasti tidak dapat melupakan kekecewaan apabila tiga mata yang hampir berada genggaman pada di Stadium Bandaraya diragut pada saat-saat akhir menerusi sepakan penalti Rafael Vitor pada minit ke-101.
Justeru, pertembungan ini menyajikan peluang terbaik kepada mereka untuk menebus kehampaan itu sekali gus mengesahkan slot ke final Piala Cabaran MFL dalam misi memburu trofi pertama selepas 2015.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.